sukan

Terbuka Singapura: Soon Huat-Shevon berdepan beregu nombor satu dunia

Beregu campuran nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong bakal menjadi penentu kemaraan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie di Terbuka Singapura 2024, esok.

Kedua-dua beregu ini dijadual berentap di pusingan kedua esok, selepas Soon Huat-Shevon yang melakar gelaran di Masters Malaysia minggu lalu menewaskan gandingan ke-47 dunia dari India, Sumeeth Reddy-Sikki Reddy 21-18, 21-19 di Stadium Tertutup Singapura, hari ini.

Si Wei-Ya Qiong pula mara ke pusingan kedua selepas menerima ‘bye’ di pusingan pertama sekali gus menjadikan pertemuan antara dua beregu ini sebagai satu pertembungan epik dengan rekod kemenangan kesemuanya memihak kepada gandingan China, 11-0.

Kali terakhir kedua-dua pasangan ini bertemu adalah di separuh akhir Kejohanan Badminton Asia di Dubai pada tahun lalu yang menyaksikan Si Wei-Ya Qiong meraih kemenangan straight set, 21-11, 21-13.

“Berdasarkan rekod pertemuan, kami tak pernah menang dengan mereka. Mereka pasangan yang sangat kuat, (daripadasegi) kelajuan dan juga kekuatan.

“Jadi kami perlu konsisten, bersedia untuk melawan bukan sahaja daripada segi mental tetapi kelajuan dan kekuatan.”Ia satu cabaran buat kami tetapi selagi kami memasuki gelanggang, kami akan buat yang terbaik… menang atau kalah kami tetap akan menikmati perlawanan,” kata Shevon.

Di Masters Malaysia minggu lalu, Soon Huat-Shevon mendedikasikan gelaran juara diraih sebagai hadiah perkahwinan mereka pada 4 Mei lalu apabila menewaskan gandingan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-18, 21-19.

Soon Huat-Shevon hanya memerlukan 47 minit untuk menewaskan Rivaldy-Mentari, sekali gus menamatkan penantian wakil beregu campuran negara untuk menjuarai Masters Malaysia sejak kali terakhir dimenangi gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada tahun 2017.

sumber:- BH

Sebagai rekod, sejak digandingkan pada tahun 2016, Soon Huat-Shevon secara keseluruhannya sudah memenangi lima gelaran termasuk Terbuka Scotland pada tahun 2016 selain Terbuka Jerman dan Terbuka Singapura pada tahun 2018.