sukan

Thailand label Azlan

Jurulatih sepak takraw Thailand, Prawet Intra memuji persembahan dipamerkan Mohamad Azlan Alias di Piala Dunia 2024 selain mengangkat apit kanan negara itu sebagai ‘killer’ nombor satu Malaysia.

Prawet berpandangan, Azlan sudah berusaha gigih untuk mencapai prestasi yang boleh dikatakan setara dengan pemain kebangsaan Thailand selain bijak dalam sebarang teknik digunakan ketika dalam gelanggang.

“Malaysia mempunyai pemain yang sangat bagus. Buat masa sekarang, saya boleh katakan dia ‘killer’ nombor satu (Malaysia). Ini kerana dia berusaha dan bijak menggunakan teknik. Sekarang ini, tahap permainannya tidak begitu jauh dengan perejam Thailand,” kata Prawet yang pernah menggalas tugas sebagai tekong skuad emas Thailand di Sukan Asia Busan 2002.

Pada aksi final berpasukan Ahad lalu, Azlan diturunkan sebagai regu pertama bersama Farhan Adam (apit kiri) dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan trio berkenaan berjaya meraih mata pertama selepas menewaskan gandingan Thailand, Poramet Siriswat, Siriwat Sakha dan Varayut Jantarasena 9-15, 15-11, 15-13.

Bagaimanapun, impian untuk menamatkan kemarau 33 tahun kemenangan ke atas Thailand dalam acara berpasukan lebur selepas dua lagi regu negara tidak berupaya menjinakkan Thailand apabila tewas dalam permainan masing-masing sekali gus memberikan skuad Gajah Perang memuktamadkan kemenangan 2-1.

Namun, Malaysia masih boleh berbangga dengan pencapaian pada edisi kali ini apabila merangkul dua gelaran, masing-masing dalam acara double dan regu sekali gus menunjukkan prestasi skuad negara kini berada di tahap positif.

Malah, Azlan turut menjadi tonggak ketika skuad negara memenangi acara regu bersama Syahir (Haziq Hairul Nizam) dan Farhan.

“Sangat bagus. Malaysia mempunyai usaha pembangunan sepak takraw. Banyak kejohanan yang dianjurkan dan juga pembangunan dilakukan. Sekarang (Malaysia) boleh meraih gelaran dalam acara double dan regu.

sumber:- BH

“Saya harap rakyat Malaysia dapat menyokong pembangunan yang ada ini,” katanya.