Tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim ternyata sudah ‘tepu’ berada di hospital selepas dua minggu mendapatkan rawatan susulan apabila menyatakan keinginan untuk turun beraksi bersama Selangor FC dalam tempoh terdekat ini.
Malah, Faisal juga menyatakan hasrat ‘tak masuk akal’ apabila turut mahu beraksi menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC malam ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.
Situasi terbabit dikongsikan Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang menyatakan pemain berusia 26 tahun itu sering menyatakan mahu kembali padang tanpa memikirkan tahap kesihatannya yang sedang menjalani rawatan akibat disimbah asid tempoh hari.
Beliau berkata, semangat yang ditunjukkan Faisal cukup membara untuk membantu Selangor FC meraih keputusan positif pada musim ini walaupun mengetahui dirinya ditimpa musibah.
“Hampir setiap kali pertemuan Faisal akan menyatakan keinginan mahu kembali ke padang menjalani latihan atau menyepak bola.”Dia mengetahui malam ini(semalam) Selangor akan berentap dengan KDA FC. Itu pun dia nyatakan hasrat mahu beraksi bersama pasukan.
“Saya terpaksa menenangkannya dan memberitahu bahawa dia perlu kembali sihat jika mahu bermain bola seperti biasa,”katanya.
Sebelum ini, Faisal atau mesra dipanggil ‘Mickey diserang oleh dua inidvidu tidak dikenali yang menyimbah asid ke badannya.
Susulan itu, pemain lincah itu disahkan mengalami lecuran teruk atau lecuran tahap empat yang menyaksikan beberapa bahagian anggota badannya terutama di tangan, leher dan badan sebelah kiri mengalami luka dalam akibat asid berbahaya itu.
Pada Selasa lalu, Faisal ditukarkan ke wad biasa selepas menunjukkan tanda-tanda positif selepas menjalani tiga pembedahan di bahagian badan yang terkena simbahan asid pada 5 Mei lalu.
sumber:- HM
Berikutan itu, pada minggu hadapan, Faisal dijadual mengharungi pembedahan terakhir sebelum dibenarkan pulang selepas rawatan susulan daripada pembedahan itu nanti.