sukan

Kulit paha Faisal bakal jadi ‘korban’ – doktor

Kulit paha bintang sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC, Faisal Halim bakal dijadikan ‘korban’ bagi menutup kesan lecuran di badannya dalam pembedahan keempat yang dijangka berlangsung pada Isnin atau Selasa depan.

Menurut Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair, Faisal akan menjalani proses ‘split skin graft’ (SSG) di mana kulit di bahagian paha atau pinggulnya bakal diambil untuk merawat luka ekoran simbahan asid sebelum ini.

“Faisal menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan. Jadi dia akan mengharungi prosedur seterusnya pada minggu depan di mana kita akan buat SSG. Insya-Allah proses itu akan dilakukan jika tiada halangan.

“Itu (pemilihan bahagian kulit) bergantung kepada pemeriksaan pakar bedah nanti. Banyak perkara perlu diambil kira antaranya kawasan kulit yang mana yang lebih sesuai dan sihat, jadi ia diputuskan oleh pakar sendiri.

“Cuma kalau kita tengok daripada segi prosedur, selalunya diambil daripada bahagian paha. Tetapi dalam hal ini, kita serahkan pada pakar,” kata Hazwan.

Berdasarkan semakan di Internet, SSG adalah proses di mana kulit yang normal dan sihat ‘dicukur’ dengan begitu nipis dan bahagian itu digunakan bagi menutup kawasan kulit yang sudah rosak ataupun tidak boleh pulih susulan kecederaan seperti luka kebakaran ataupun abnormaliti.

Sebelum ini, Faisal atau mesra dipanggil ‘Mickey’ terpaksa mengharungi tiga pembedahan selepas diserang oleh dua inidvidu tidak dikenali yang menyimbah asid ke badannya.

Susulan itu, pemain lincah itu disahkan mengalami lecuran teruk atau lecuran tahap empat yang menyaksikan beberapa bahagian anggota badannya terutama di tangan, leher dan badan sebelah kiri mengalami luka dalam akibat asid berbahaya itu.

Selepas berjaya mengharungi pembedahan pertama dan kedua, Faisal kemudiannya mengharungi pembedahan ketiga pada Khamis lalu di mana ‘skin allograft’ atau tampalan kulit yang diimport dari Belgium bernilai lebih RM30,000 digunakan sebagai pelindung sementara.

Jelas Hazwan lagi, kegunaan ‘skin allograft’ sebelum ini menunjukkan perkembangan positif di mana pakar perubatan mendapati tiadanya tindak balas kesan asid itu terhadap ‘skin allograft’ itu.

Katanya lagi, beliau membayangkan pembedahan keempat yang bakal dilalui nanti mungkin menjadi prosedur terakhir buat Faisal.

“Berdasarkan kata dari pakar, buat sementara waktu, itulah (empat pembedahan) yang dirancang. Tiada kata lagi mengenai prosedur tambahan kerana kita kita lihat perkembangan Faisal juga. Apapun, perkembangan Faisal sangat memberangsangkan,” katanya.