sukan

Kelantan berisiko untuk tersingkir kali kedua

Selepas ‘dibuang’ dari Liga Super, Kelantan FC berisiko untuk tersingkir daripada saingan Liga A1 Semi Pro bagi musim ini jika gagal untuk mendaftarkan sekurang-kurangnya 20 pemain sehingga tarikh akhir, esok.

Ketua Pegawai Operasi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad menjelaskan, jaguh Pantai Timur itu sebelum ini meminta tarikh lanjutan untuk mendaftarkan pemain selepas tarikh pendaftaran sudahpun berakhir pada 8 Mei lalu.

Justeru, Raimi menjelaskan badan pengendali liga semi profesional itu bersetuju untuk memberi tarikh lanjutan bagi memastikan pasukan itu memiliki sekurang-kurangnya 20 pemain bagi didaftarkan sekali gus dapat beraksi bagi musim ini.

“Kelantan FC meminta penangguhan dan menunjukkan usaha untuk menyelesaikan perkara itu. Jadi AFL optimis dengan usaha mereka dan memberi tempoh lanjutan sehingga esok (14 Mei).

“Mereka meminta penangguhan kerana mereka belum dapat mendaftarkan minimum 20 pemain pada 8 Mei lalu. Mereka meminta penangguhan sehingga hujung bulan tetapi terlalu lama, jadi 14 Mei itu sudah dianggap cukup adil,” katanya.

Justeru, Raimi memaklumkan AFL sedia untuk menjalankan saingan Liga A1 Semi Pro musim ini hanya dengan 15 pasukan sekiranya Kelantan FC perlu disingkirkan susulan tidak memiliki pemain yang cukup untuk didaftarkan.

“Setakat hari ini, masih ada 16 pasukan seperti yang diumumkan sebelum ini, tiada pengurangan pasukan ataupun penambahan pasukan. Tetapi untuk esok atau lusa, kita tidak boleh pastikan (jumlah pasukan) bergantung sama ada Kelantan FC ataupun pasukan lain dapat mendaftarkan pemain.

“Tetapi kita sudah bersedia dengan 15 pasukan kerana kita pun tahu apa risiko dan kesan daripada pengumuman yang kita lakukan sebelum ini. Kita pernah ada 20 pasukan jadi, sama ada 16 ataupun 15 pasukan, bukan satu masalah buat AFL.

sumber:- BH

“Untuk menambah pasukan pun, kita tengok masa kian suntuk kerana kita ada kurang 21 hari untuk sepak mula musim baharu nanti tetapi kita tunggu apa akan jadi nanti,” katanya.