Pemain Selangor FC (SFC), Faisal Halim terus menghadirkan khabar gembira buat penyokong apabila pemain itu menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani proses ‘skin allograft’ bermula dengan pembedahan ketiga yang dilaluinya, Khamis lalu.
Perkhabaran gembira itu dikongsikan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang berkesempatan melawat pemain itu di sebuah hospital swasta, di sini semalam sekali gus memberi bayangan pemain bakal mengharungi pembedahan seterusnya dalam masa terdekat.
Shahril yang juga Ahli Lembaga Pengarah SFC itu memaklumkan prosedur ‘skin allograft’ itu dilihat sesuai dan diterima dengan baik untuk Faisal selain pemain itu tidak berdepan sebarang jangkitan kuman.
“Setakat ini, saya lihat kondisi Faisal bertambah baik dengan proses ‘skin allograft’ juga boleh dikatakan berjaya tanpa sebarang masalah.”Kita lihat dalam tempoh sehari dua ini bagaimana perkembangan Faisal sebelum pakar perubatan menentukan rawatan seterusnya,” katanya.
Terdahulu, Faisal menjalani pembedahan ketiga membabitkan prosedur ‘skin allograft’ untuk merawat kecederaan di bahagian abdomen dan lengan kirinya.Prosedur menggunakan ‘skin allograft’ yang dianggarkan bernilai lebih RM30,000 akan dibuat secara berperingkat bagi merawat lecur tahap empat yang dialami Faisal susulan disimbah asid, baru-baru ini.
Berdasarkan semakan di Internet, ‘skin allograft’ dianggap sebagai standard tertinggi untuk merawat luka kebakaran kepada pesakit yang tidak memiliki kulit yang cukup untuk menutup luka terbakar di badan.
‘Skin allograft’ diperolehi daripada penderma sama ada yang masih sihat ataupun sudah meninggal dunia sebagai pelindung sementara untuk luka kebakaran.
sumber:- BH
Ia adalah satu prosedur pembedahan untuk memindahkan kulit yang sihat daripada satu bahagian tubuh ke tubuh yang lain untuk menutup kulit yang hilang ataupun rosak.