sukan

Liga Super : Keputusan aksi Sabah berdepan Pulau Pinang

Sabah FC gagal memecah benteng pertahanan Pulau Pinang untuk mencipta sebarang jaringan sekali gus memaksa perlawanan sulung mereka dalam Liga Super musim ini berakhir dengan keputusan seri di Stadium Likas, sebentar tadi.

Penjaga gol Pulau Pinang, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman menjadi tonggak penyelamat pasukan pelawat apabila menggagalkan semua cubaan berbahaya pemain tuan rumah ke arah gawang mereka.

Penyerang Sabah, Ramon Machado yang sebelum ini dijangka tidak dapat menyertai perlawanan kerana kecederaan sempat beraksi selama 70 minit sebelum ditukatkan, melancarkan paling banyak serangan berbahaya ke arah gawang lawan.

Pemain dari Brazil itu melakukan sekurang-kurangnya enam cubaan berbahaya, namun semuanya dapat dipatahkan pertahanan lawan, selain dibaca dengan baik Sikh Izhan yang tidak hilang tumpuan di hadapan gawang.

Secara keseluruhan permainan agak seimbang pada babak pertama dengan kedua-dua pasukan dilihat berhasil mendapat beberapa sepakan sudut, selain tendangan percuma dan serangan balas, namun tiada yang dapat diterjemah kepada gol.

Penampilan kedua-dua pasukan juga dilihat kurang menyengat sepanjang babak pertama sebelum berubah pada separuh masa kedua yang menyaksikan tuan rumah memulakan langkah agresif.

Usaha Sabah untuk mendapatkan sepakan penalti selepas berlaku dakwaan bola terkena tangan pemain Pulau Pinang ketika situasi kucar-kacir di hadapan gawang lawan pada minit ke-77 juga tidak berhasil apabila tidak diendahkan pengadil.

sumber:- BH

Semakan menggunakan Video Pembantu Pengadil (VAR) juga tidak dapat dibuat memandangkan sistem itu tidak dapat digunakan di Stadium Likas malam ini disebabkan masalah teknikal.