sukan

Kedah menang tapi masih kosong mata

Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC Nafuzi Zain tidak perlu lagi bersusah payah memikirkan ‘hutang’ tiga mata selepas merekodkan kemenangan 1-0 menentang PDRM dalam aksi pertama Liga Super, semalam.

Beliau berkata, kemenangan terbabit cukup penting untuk barisan pemain kedah melupakan ‘hutang’ mereka sekali gus fokus untuk mencipta keputusan positif pada perlawanan berikutnya.

Katanya, fokusnya kini adalah mahu membuat persiapan rapi berdepan Selangor sebagai pertembungan yang menarik dengan skuad kendalian Nidzam Jamil dianggap antara pencabar kejuaraan musim ini.

“Alhamdulillah tiga mata untuk kami bayar hutang, jangan lupa kami berhutang tiga mata dan pertama sekali matlamat kami nak selesaikan hutang dulu.”Selepas ini bertemu Selangor, saya tahu Selangor satu pasukan yang mencabar kejuaraan untuk musim ini dengan kualiti pemain tempatan dan juga penambahan import baharu yang lebih berkualiti.

“Saya tengok Selangor lebih bersedia untuk musim ini. Satu pertembungan menarik dan kita tengok perlawanan itu nanti macam mana. Saya berasa seronok bertemu dengan Nidzam,” katanya.

Terdahulu, jaringan awal Syafiq Ahmad ketika perlawanan hanya berlangsung 33 saat membolehkan KDA FC membawa pulang tiga mata penting dari gelanggang lawan.

KDA FC bagaimanapun masih kekal tanpa sebarang mata dalam carta liga selepas mereka sebelum ini dikenakan hukuman pemotongan tiga mata dan denda RM50,000 susulan kegagalan kelab terbabit membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023.

Sementara itu, pengendali PDRM, P Maniam tetap bangga dengan kesungguhan yang ditampilkan barisan pemainnya walaupun terpaksa akur tewas dalam aksi pertama di gelanggang sendiri.

sumber:- HM

“Walaupun kami kalah 0-1, tapi saya berasa bangga dengan pemain sebab mereka menunjukkan karakter atau sikap yang bersungguh-sungguh. Kita kena bangkit dan mempersiapkan pasukan dengan lebih bagus untuk perlawanan akan datang,” katanya.