Malaysia melengkapkan jadual pusingan awal Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) ke-30 dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas juara tiga kali Korea Selatan di Stadium Hoki Azlan Shah di Ipoh malam ini.
Jaringan tunggal aksi berkenaan oleh Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ketujuh disusuli sorakan gemuruh kira-kira 5,000 penyokong di stadium.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Speedy Tigers, yang hadir dengan status juara bertahan, menamatkan liga sepusingan di kedudukan ketiga dengan sembilan mata di belakang Jepun (13 mata) dan Pakistan (11 mata), mengatasi New Zealand (7 mata), Korea Selatan (3 mata) dan Kanada yang menduduki tangga tercorot tanpa sebarang mata.
Malaysia sebelum ini menewaskan Kanada 6-2 dan New Zealand 6-4, namun kalah tipis 4-5 kepada Pakistan dan 1-2 kepada Jepun manakala Korea Selatan pula sekadar mengatasi Kanada 1-0 namun tewas 1-2 kepada Jepun, 0-4 di tangan Pakistan dan 1-4 kepada New Zealand.
Juara tiga kali Pakistan dan Jepun bakal berentap pada final esok selaku dua pasukan terbaik pusingan awal manakala Malaysia akan mencabar New Zealand untuk gangsa selain aksi Korea Selatan bertemu Kanada untuk penentuan kelima-keenam.
Mengulas mengenai aksi berkenaan, ketua jurulatih kebangsaan, Sarjit Singh jelas tidak gembira dengan prestasi anak buahnya yang mensia-siakan banyak peluang untuk menambah jaringan.
“Saya rasa ini adalah aksi terburuk kita… empat perlawanan sebelum ini, prestasi kita adalah baik… kita amat bernasib baik kerana Korea menurunkan ramai pemain baharu, jika tidak pasti kita akan dihukum.
“Saya tidak begitu puas hati dengan dengan prestasi permainan namun gembira dengan keputusan perlawanan,” katanya.Sarjit berharap anak buahnya mampu bangkit untuk mempamerkan prestasi lebih baik menentang pasukan di ranking ke-10 dunia New Zealand esok, yang dijangka memberikan cabaran sengit selepas tewas dua kali berturut-turut termasuk kekalahan 1-2 pada aksi persabahatan pada 1 Mei kepada skuad Speedy Tigers.
Sementara itu, ketua jurulatih New Zealand, Greg Nicol yang mahu memberikan peluang kepada pemain muda beraksi esok tetap berharap untuk menamatkan kejohanan di kedudukan terbaik dengan menewaskan Malaysia.
sumber:- SH
“Saya akan berikan peluang kepada kebanyakan pemain muda untuk beraksi, kita tidak akan rugi apa-apa. Saya akan rasa gembira jika mereka mempamerkan prestasi yang baik,” katanya. – Bernama