Bapa borek anak pula rintik. Pepatah itu sesuai digambarkan kepada jaguh bina badan negara, Sazali Samad selepas meraih podium bersama anaknya, Hazim di kejohanan Pro Am Asia Pasific di Singapura, Ahad lalu.
Sazali yang berkecimpung dalam sukan bina badan sejak 1987 bergelar juara dalam kategori terbuka dan master manakala anaknya pula memperoleh tempat pertama bagi kelas ‘newbie’.
Kejayaan itu boleh dikatakan menempa sejarah tersendiri kerana kali pertama bapa dan anak bergandingan di atas satu pentas seterusnya berjaya membawa pulang pingat untuk negara.
Sazali yang pernah merangkul gelaran Mr Universe sebanyak 10 kali berkata, walaupun sudah ‘menyepi’ dalam arena bina badan sejak beberapa tahun lalu, situasi itu tidak bermakna dia sudah bersara atau tidak berminat lagi untuk menyertai kejohanan di luar negara.
“Alhamdulillah, saya buat yang terbaik untuk Malaysia dan siapa pun pesaing daripada Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan Jepun tidak menjadi masalah sehingga mampu untuk bergelar juara.
“Saya memenangi tempat pertama untuk kelas terbuka dan master manakala anak pula kategori ‘newbie’. Saya bermula latihan dan diet pemakanan sejak Januari lalu bersama dengan anak.
“Walaupun, tiga tahun lalu tidak menyertai sebarang pertandingan, saya tetap menjaga pemakanan dan badan supaya lebih bersedia menyertai kejohanan ini,” katanya ketika ditemui Arena Metro.
Sementara itu, Hazim berkata, keputusan beralih bidang daripada badminton kepada bina badan ternyata membuahkan hasil apabila meraih tempat pertama pada penyertaan kedua di peringkat antarabangsa.
“Bila satu kategori dengan ayah agak takut kerana nama besar atau dikenali sebagai legenda dalam bina badan, tapi itu semua adalah satu kebanggaan.
sumber:- HM
“Sukar sebenarnya untuk bertanding dalam sukan bina badan kerana perlu berdisiplin terutama membabitkan pemakanan selain perlu menjaga badan,” katanya.