sukan

Kes Simbah Asid : ‘Kita dah ekstrak beberapa cap jari yang ditinggalkan’

Polis sedang menganalisa cap jari yang ditemukan di lokasi kejadian simbah asid membabitkan pemain kebangsaan, Faisal Halim pada Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar pusat beli belah didapati suspek ada menyentuh beberapa kawasan atau tempat sehingga meninggalkan cap jari.

“Jadi kita sudah ekstrak beberapa cap jari yang ditinggalkan di situ.

“Buat masa ini kita masih menunggu analisa cap jari ini dan sekiranya itu memberikan gambaran yang positif kita dapat ‘mendekatkan diri’ kepada suspek-suspek terbaharu,” katanya ketika ditemui selepas hadir ke lokasi kejadian di pusat beli-belah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, buat masa ini pihaknya belum dapat mengenal pasti wajah suspek dan sebagainya.”Ini kerana suspek memakai topi dan CCTV tidak menjurus ke arah wajah suspek.

“Buat masa ini, tiada tangkapan baharu dan saya menidakkan apa juga laporan yang dikeluarkan oleh portal yang tidak sahih,” katanya.

Semalam, media melaporkan suspek kedua insiden simbah asid terhadap Faisal mempunyai tujuh rekod lampau.

Suspek berusia 30-an itu ditahan lewat petang di sekitar Bandar Baru Bangi.

Sebelum itu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan kecederaan pada badannya.

sumber:-HM

Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 5 petang.