sukan

TERKINI: Tubuh Faisal dibalut seperti ‘mumia’

Penderitaan ditanggung tonggak Harimau Malaya Faisal Halim cukup perit apabila seluruh tubuhnya dibalut seperti ‘mumia’ dalam usaha memastikan dia tidak dijangkiti kuman.

Situasi terbabit dikongsi Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar yang menyatakan Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey mengalami kecederaan di bahagian muka, leher, lengan dan badan kesan daripada curahan asid itu.

Beliau berkata, walaupun Faisal sudah sedar namun dia akan ‘bertarung’untuk pembedahan kedua pada petang ini sekali gus mengharapkan doa daripada orang ramai supaya prosedur itu berjalan lancar.

“Saya baru saja melawat Faisal dan alhamdulillah dia sedar tapi dijadualkan menjalani pembedahan kedua petang ini. Dia minta doakannya dan kirim salam kepada rakan lain. Kemungkinan akan ada pembedahan lain lagi dan sekurang-kurangnya 10 hari dia berada di unit rawatan rapi (ICU) hospital,” katanya, ketika ditemui di lobi hospital, sebentar tadi.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan insiden membabitkan pemain kebangsaan itu yang cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di ibu kota.

Kejadian itu, menyebabkan Faisal cedera di beberapa bahagian badan termasuk mukanya dan kini dirawat di sebuah hospital di Shah Alam.

Faisal yang juga tonggak Selangor FC dilaporkan sudah selesai menjalani pembedahan pertama di sebuah hospital di Shah Alam.

Kondisi kesihatan Faisal yang juga nadi kepada Selangor FC semakin membimbangkan apabila dikatakan berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan pertama.

sumber:- HM

Sementara itu, Shahril yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC memaklumkan doktor turut memaklumkan pelaku menggunakan asid sulfurik yang mampu mendatangkan kecederaan serius kepada Faisal.