Kem Selangor FC terus ‘bergoyah’ apabila dikhabarkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan itu, Dr Johan Kamal Hamidon bakal menjadi sasaran seterusnya simbahan asid.
Menurut sumber, perkara itu dimaklumkan seorang pegawai Selangor FC kepada Johan ketika melawat tonggak skuad Gergasi Merah, Faisal Halim di sebuah hospital swasta, semalam.
Kata sumber itu, pegawai berkenaan mendapat panggilan daripada individu tidak dikenali yang mengatakan Johan mangsa seterusnya dan perlu berhati-hati kerana dibimbangi menjadi mangsa simbahan asid.
“Berikutan itu, Johan membuat laporan polis sebaik melawat Faisal untuk tindakan lanjut kerana bimbang terhadap keselamatan dirinya dan keluarga.
“Pada masa sama, Johan menyatakan tidak mempunyai sebarang masalah atau salah faham dengan mana-mana pihak yang terbabit secara langsung dalam bola sepak Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Arena Metro melaporkan tidak sampai seminggu selepas insiden pemain kebangsaan, Akhyar Rashid disamun dan dipukul, satu lagi insiden mengejutkan terjadi apabila Faisal disimbah asid, semalam.
Menerusi maklumat dan gambar yang tular di laman media sosial, pemain yang dinobat sebagai Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Kejadian itu menyebabkan Faisal cedera di beberapa bahagian badan termasuk mukanya dan kini dirawat di sebuah hospital di Shah Alam.
sumber:- HM
Situasi terbabit sudah pastinya mengganggu persiapan Selangor yang akan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah, Jumaat ini.