sukan

Reaksi TMJ nasib menimpa Faisal Halim dan Akhyar

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengecam insiden yang menimpa pemain Harimau Malaya, Faisal Halim dan Akhyar Rashid sehingga mendatangkan kecederaan kepada mereka.

Menerusi kenyataan rasmi di Facebook rasmi Johor Southern Tigers, Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat segera kedua-dua kejadian itu.

“Saya mengecam kejadian yang melibatkan pemain bola sepak, Faisal Halim dan Akhyar Rashid susulan keselamatan serta kesejahteraan mereka diganggu oleh individu-individu tidak bertanggungjawab.

“Saya berharap agar Polis Diraja Malaysia segera menyiasat kes-kes tersebut dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” kata Tunku Mahkota Ismail.
Terdahulu, tidak sampai seminggu selepas insiden Akhyar disamun, satu lagi kejadian mengejutkan terjadi hari ini menimpa Faisal.

Menerusi maklumat dan gambar yang tular di laman media sosial, pemain yang dinobat sebagai Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di ibu negara.

Perkembangan mengenai insiden itu turut disahkan SFC menerusi satu kenyataan.

“Dukacita dimaklumkan bahawa pemain SFC, Faisal Halim menjadi mangsa serangan asid petang tadi.

“SFC memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan pihak PDRM serta pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci untuk mengenal pasti sesiapa yang terlibat.

“SFC menyeru penyokong dan peminat bola sepak di seluruh negara untuk mendoakan dan memberi sokongan moral kepada Faisal Halim dan keluarganya serta menghormati privasi beliau dan keluarganya pada masa ini,” kata SFC.

Khamis lalu, Akhyar, 25, yang baru sahaja keluar dari kereta dipukul dengan senjata dipercayai cota di kepala dan badan oleh suspek yang tidak dikenali.

Suspek turut merampas dompet dan telefon bimbit milik mangsa sebelum melarikan diri.

sumber:- BH

Mangsa yang cedera kemudian dikejar ke unit kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.