sukan

Liga M lakar sejarah

Selepas lima bulan berehat, saingan musim baharu Liga Malaysia (Liga M) 2024-2025 akhirnya akan membuka tirai, Jumaat ini dengan aksi sulung membabitkan perlawanan Piala Sumbangsih.

Perebutan Piala Sultan Ahmad Shah itu akan menemukan dua gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor di Stadium Sultan Ibrahim yang mana aksi itu akan dikira mata bagi kedudukan Liga Super.

Beberapa pasukan lagi akan memulakan aksi pada Sabtu dan Ahad manakala satu pasukan, Negeri Sembilan tidak terbabit bagi aksi minggu pertama susulan jumlah pasukan ganjil yang bertanding dalam Liga Super musim ini.

Menampilkan 13 pasukan, saingan Liga Super 2024-2025 dijangka lebih menarik dan bakal mencipta sejarah baharu bola sepak Malaysia apabila buat kali pertamanya akan menggunakan video bantuan pengadil (VAR).

Penggunaan teknologi itu sudah mendapat ‘lampu hijau’ daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan ia akan dirasmikan di Stadium Sultan Ibrahim bagi aksi Piala Sumbangsih.

Kehadiran VAR kini menjadi harapan besar buat semua pihak terutama penyokong untuk melihat keputusan lebih tepat dari pengadil selepas bertahun-tahun mutu pengadilan Liga M kerap menjadi bahan kritikan dan pertikaian.

Menjadi ‘mata’ tambahan kepada pengadil mengesan tingkah laku pemain di atas padang, teknologi itu juga dijangka akan membentuk lebih banyak drama dalam Liga M musim ini.

Pemain harus berfikir banyak kali untuk melakukan tindakan ‘kotor’ kerana setiap gerak geri mereka di atas padang akan dirakam dan seperti yang dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam bahawa pemain bermain di bawah CCTV.

Semua pihak termasuk peminat juga harus bersedia untuk menghadapi beberapa benda baharu termasuk perlawanan mungkin akan lebih banyak ‘tersangkut’ dan tambahan masa lebih lama susulan penggunaan VAR.

Dalam erti kata lain, penyokong perlu bersedia untuk pulang lewat ke rumah kerana tambahan masa atau masa kecederaan dari penggunaan VAR boleh mencecah hingga berbelas minit bagi separuh masa.

Semua pihak juga diharap tidak terlalu mengharapkan kesempurnaan daripada penggunaan VAR kerana ia kali pertama dilaksanakan dan sudah pasti akan terdapat kelemahan.

Masih dalam proses belajar

Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim yang juga bekas pengurus pasukan Selangor sebelum ini pernah menyatakan bahawa pengadil, pemain, pegawai pasukan mahu pun penyokong Liga M masih dalam proses belajar mengenai teknologi itu.

Setakat ini, MFL memiliki empat set VAR yang akan digunakan untuk saingan Liga M bagi menampung aksi terutama bagi saingan Liga Super.

Berdasarkan jadual yang dikeluarkan MFL, tiga aksi maksimum akan berlangsung dalam satu hari perlawanan yang mana satu set VAR mungkin berstatus ‘pemain simpanan’ dengan ia boleh digunakan sekiranya berlaku perkara luar jangka selain persediaan untuk aksi membabitkan perlawanan di Sarawak dan Sabah.

Selain tumpuan utama terhadap VAR, perjalanan Liga M yang akan membabitkan musim lebih panjang 2024-2025 juga satu benda yang menarik selepas sebelum ini ia berlangsung dalam tahun sama.

Perubahan itu bagi mengikut kalendar Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mana ia juga dapat memberi perkara positif terutama apabila membabitkan aksi antarabangsa bagi pasukan kebangsaan.

Bagaimanapun, saingan ‘dua musim’ itu bakal menyaksikan pasukan bertanding bakal berdepan beberapa cabaran termasuk bermain dalam musim tengkujuh.

“Satu keperluan yang kita perlu laksana untuk memastikan penjadualan liga, kem pasukan kebangsaan, penyertaan kelab di peringkat ASEAN dan Asia adalah teratur. Ini musim transisi kalendar dan kita tahu akan ada jurang,” kata Stuart.

Selain itu, Liga M 2024-2025 juga bakal menyaksikan pengenalan ‘Financial Fair Play’ (FFP) dengan fokus utama untuk mengekang ‘penyakit’ pasukan berdepan isu kewangan dan masalah tunggakan gaji.

Tahun pertama FFP dalam Liga M dilihat sebagai tahun pengenalan untuk memantau pembayaran gaji pemain dan pegawai yang menjadi isu utama serta meningkatkan tanggungjawab kelab dalam memastikan kestabilan kewangan yang kukuh.

Selepas proses penyerahan dokumentasi dan prosedur pemantauan yang dilaksanakan disesuaikan oleh kelab Liga M, mulai tahun kedua dan seterusnya, MFL akan terus memantau dan melaksanakan peraturan pendapatan serta perbelanjaan berhemat untuk memastikan kemampanan jangka panjang pasukan.

“Antara tekanan dan kerisauan saya adalah kebajikan pasukan dan kelestarian pasukan. Kami harap pasukan dapat menyesuaikan diri dalam musim yang panjang ini dengan pengurusan bajet yang baik.

sumber:- BH

“Kalau tak boleh hapuskan secara keseluruhan dalam masa terdekat, harap boleh mengurangkan isu (tunggakan) gaji. Ia menjadi menjadi stigma, bukan sahaja kepada MFL dan pasukan tetapi kepada industri bola sepak kita,” kata Stuart.