sukan

Zii Jia perjelas apa yang berlaku di set kedua

Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui dia seperti menjadi orang yang berbeza di set kedua ketika tewas di tangan pemain nombor dua dunia dari China, Shi Yu Qi pada aksi separuh akhir Piala Thomas, hari ini.

Bekas juara Asia itu, berkata sukar untuk dia menjelaskan terhadap situasi yang dialaminya ketika di dalam gelanggang tetapi sesuatu yang boleh terjadi secara tiba-tiba.

“Saya bermain dengan baik di set pertama tetapi di set kedua saya seperti orang yang berbeza di dalam gelanggang.

“Ia adalah situasi yang secara tiba-tiba boleh berlaku di gelanggang. Saya fikir ia sama seperti yang dialami Kenta Nishimoto (Jepun), pada perlawanan suku akhir (Zii Jia menang 21-13, 21-3).

“Saya banyak kali bermain dengan dia dan dia sentiasa memberikan persaingan sengit, tidak pernah pun berlaku seperti mana yang ditunjukkannya dalam perlawanan itu (set kedua).

“Ini adalah satu perkara yang rumit dan sukar untuk saya jelaskan tetapi saya tahu apa masalahnya dan apabila pulang saya bersama jurulatih akan cuba atasinya,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan menentang Yu Qi, Zii Jia memberi tentangan sengit di set pertama sebelum terpaksa akur tewas 19-21.

Bagaimanapun, dia seperti ‘dipukau’ di set kedua apabila banyak melakukan kesilapan mudah yang memberi peluang buat Yu Qi mengutip mata sekali gus membolehkan lawan berkenaan memberi mata pertama kepada China dengan kemenangan 21-5 dalam tempoh 39 minit.

“Sudah tentu situasi akan berbeza jika saya memenangi set pertama. Namun, ada masanya ia tidak berlaku seperti yang kita mahukan. Bukan mudah untuk menentang Yu Qi.

sumber:- BH

“Dia adalah pemain nombor dua dunia dan prestasi cukup baik ketika ini,” katanya.