sukan

Kedah kecewa di aksi terakhir

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melengkapkan aksi pramusim dengan mencatat keputusan 1-1 ketika menentang pasukan Liga M3, Melaka FC pada saingan yang berlangsung di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Keputusan ini bagaimanapun tetap menjadi panduan berguna buat ketua jurulatih Nafuzi Zain dalam mengatur strategi yang lebih tepat bagi menentukan kesebelasan utama dalam saingan Liga Super menentang PDRM di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 11 Mei ini.

Kedah yang turun dengan 50 peratus pemain simpanan pada babak pertama dikejutkan dengan gol pembukaan dihasilkan pelawat pada minit ke-10 melalui gerakan pantas di bahagian sayap kanan Melaka dan disudahkan oleh G Durrkeswaran yang merembat bola tepat ke arah gawang Kedah.

Walaupun Kedah menguasai hampir 90 peratus kawalan bola di babak pertama, namun pemain yang diturunkan dilihat gagal mencipta rentak yang membahayakan ruang pertahanan Melaka.

Memasuki babak kedua Kedah menukar pemain dengan memasukkan beberapa tonggak utama seperti Habib Haroon, Akmal Zahir, Ariff Farhan, Fayadh Zulkifli dan Syafiq Ahmad.

Melaka yang hanya mengatur strategi melalui serangan balas sejak dari babak pertama lagi akhirnya terpaksa akur dengan kekuatan sebenar Kedah apabila kubunya dibolosi juga pada tiga minit selepas babak kedua.

Gol penyamaan berkenaan terhasil melalui tandukan pemain gantian pertahanan Akmal Zahir yang menewaskan penjaga gawang T Shaheesswaran, hasil dari hantaran sepakan penjuru oleh pemain sayap Fayadh Zulkifli.

sumber:- HM

Percubaan di hujung babak separuh masa kedua oleh Sukhrob Nurullaev juga gagal meletakkan bola ke jaring Melaka dan kedudukan 1-1 itu kekal hingga wisel penamat ditiupkan.