sukan

Selangor FC sudah bersedia lawan JDT

Penyerang Selangor, Faisal Halim menjelaskan skuad Gergasi Merah sudah bersedia untuk menghadapi aksi Piala Sumbangsih berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat depan.

Pemain kebangsaan itu berkata, semua orang boleh menilai bagaimana tugas yang bakal dihadapi skuad kendalian Nidzam Jamil untuk menentang Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim.

Dia bagaimanapun berkata, barisan pemain Selangor akan cuba memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu kerana peluang untuk mereka mencipta kemenangan tetap ada.

“Persediaan (Selangor) baik, kami pergi untuk berjuang, jadi kita tengok 10 Mei (Jumaat) nanti bagaimana. Saya rasa semua pemain sudah bersedia. Sukar atau senang nak lawan JDT semua orang tahu, penyokong pun tahu.

“Bukan mudah, bukan susah, kita boleh menang dan kita boleh kalah. Jadi dalam perlawanan itu kita perlu beri yang terbaik. Pasukan Selangor sedang berada dalam perjalanan perubahan yang terbaik.

“Saya berasa perlukan masa untuk ketua jurulatih, Nidzam yang bawa Selangor untuk dapatkan satu pasukan yang mantap. Mana tahu rezeki Allah nak bagi dekat kita,” kata Faisal.

Aksi perebutan Piala Sultan Ahmad Shah antara JDT dan Selangor itu menjadi perlawanan pembukaan saingan Liga Malaysia (Liga M) 2024-2025 dengan mata akan dikira bagi kedudukan carta Liga Super.

Pertembungan dua gergasi Liga M itu juga bakal mencipta sejarah apabila video bantuan pengadil (VAR) secara rasmi akan digunakan buat kali pertama dalam kancah bola sepak tempatan.

sumber:- BH

Untuk rekod, JDT yang juga juara Liga Super 10 kali berturut-turut memenangi enam aksi terakhir Piala Sumbangsih sejak 2018.