sukan

Jumlah kerugian Akhyar selepas disamun

Pemain Terengganu, Akhyar Rashid, mengalami kerugian lebih RM4,800 setelah disamun dua lelaki bersenjata dalam kejadian di hadapan sebuah kondominium di Kuala Terengganu malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata pemain berusia 25 tahun itu disamun dua lelaki berpakaian gelap, memakai topeng muka serta membawa senjata besi boleh laras.

Menurutnya, insiden itu dimaklumkan kepada kakak mangsa, Nurrashidah Abdul Rashid, 36, yang juga pembantu peribadinya, pada jam 8.53 malam sebelum membuat laporan polis.

“Berdasarkan laporan diterima, mangsa kehilangan beg tangan berharga kira-kira RM4,000, dompet bernilai RM800, kad pengenalan dan lesen memandu dengan jumlah kerugian lebih RM4,800.

“Telefon bimbit mangsa yang pada mulanya hilang dijumpai dibuang di tepi jalan pada jarak kira-kira 1 kilometer daripada lokasi kejadian,” katanya.
Menurut Azli, sebelum kejadian, Akhyar atau nama penuhnya, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, selesai mengikuti latihan bola sepak di Stadium Gong Badak, Kuala Nerus dan pulang ke kediamannya di Icon Residence.

“Sebaik tiba di kondominium itu, mangsa telah memarkir kenderaan di tempat letak kereta dan sewaktu turun daripada kereta, mangsa ternampak dua lelaki turun daripada sebuah kereta berwarna gelap.

“Ketika mangsa berjalan hampir ke pintu lobi lif, kedua-dua suspek menghampirinya. Salah seorang suspek telah mengeluarkan besi boleh laras dan terus memukul bahagian kepala mangsa menyebabkan mangsa terjatuh.

“Suspek kemudian memukul bahagian badan dan kaki mangsa sebelum mangsa bangun dan melarikan diri sehingga ke hujung kondominium.
“Ketika itu, mangsa ternampak suspek telah mengambil barangan kepunyaannya di atas lantai serta melarikan diri,” jelasnya.

Menurut Azli, mangsa yang dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menerima enam jahitan, iaitu empat jahitan pada bahagian atas kepala dan dua jahitan di atas tapak kaki kiri selain sakit pada anggota badan.

Tambahnya, mangsa telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.Dalam pada itu, Azli memberitahu, mangsa mengatakan tidak berselisih faham dengan sesiapa sebelum kejadian dan tidak mengesyaki individu yang melakukan perbuatan terbabit.

Katanya, mangsa juga tidak mengecam suspek kerana kejadian berlaku dengan pantas dan suspek memakai penutup muka.”Kenderaan suspek juga tidak dapat dipastikan kerana mangsa trauma dan ketakutan selepas kejadian,” ujarnya lagi.

sumber:- SA

Azli memberitahu, polis masih mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika samun.
–Sinar Harian