sukan

Ubaidullah akui punca dua kekalahan skuad Bawah 23 Malaysia

Berbaki sembilan hari sebelum berdepan Uzbekistan dalam aksi pertama Kumpulan D saingan Piala Asia bawah 23 (B-23) di Doha, Qatar, beberapa aspek khususnya kesilapan mudah di benteng pertahanan perlu diatasi segera.

Perkara itu diakui tonggak pertahanan skuad B-23 negara, Ubaidullah Shamsul yang menganggap kekalahan dalam dua aksi persahabatan di Doha berpunca daripada kecuaian benteng negara hingga mengakibatkan pasukan dihukum pihak lawan.

“Saya rasa perlawanan demi perlawanan pasukan kita memang ada peningkatan dari segi permainan dan teknikal ‘ability’ individu pemain dan bab keserasian itu memang tak dinafikan kita semua memang dah serasi.

“Cuma kita akan cuba lebih lagi asah di bahagian serangan dan kurangkan kecuaian di dalam padang, sebab dua perlawanan terakhir ini kita dibolosi menerusi sepakan penalti.

“Jadi bagi saya, itu satu (kesilapan mudah) yang tak boleh kita buat selalu untuk ke pertandingan lebih besar,” katanya selepas aksi persahabatan menentang Qatar awal pagi tadi.

Dalam aksi pemanas badan awal pagi tadi, skuad kendalian Juan Torres Garrido sekadar tewas tipis 0-1 di tangan pasukan tuan rumah yang diletakkan sebagai pilihan utama memenangi Piala Asia B-23 nanti.

Malah, gol tunggal itu hanya diraih menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama yang disudahkan Ahmed Husham.

Sebelum itu skuad B-23 turut tewas kepada China dengan keputusan 1-2, dengan kedua-dua gol lawan juga berpunca daripada sepakan penalti.

“Saya belum berpuas hati dengan persembahan malam ini (awal pagi tadi) sebabnya babak pertama agak gugup nak sesuaikan diri itu lambat, dan banyak kehilangan bola dan ragu-ragu dalam membuat keputusan.

“Tapi babak kedua kita bangkit balik dan rakan-rakan pun banyak membantu dalam padang.

“Masih banyak lagi perlu belajar dan baki hari yang kita ada ini, kita dapat perbaiki dengan baik semua pasukan dari aspek lain-lain untuk aksi pertama di Piala Asia,” kata pemain Terengganu FC itu lagi.

Pasukan negara dijadual menentang Uzbekistan yang juga naib juara edisi lalu di Stadium Antarabangsa Khalifa pada Rabu depan.

sumber:- HM

Selepas itu, Vietnam bakal menanti anak buah Garrido di venue sama tiga hari kemudian sebelum menutup kempen peringkat kumpulan dengan menentang Kuwait pada 23 April di Stadium Al Janoub.