sukan

Hero Selamatkan Kedah

Peminat bola sepak Kedah menaruh harapan tinggi supaya muncul ‘hero’ dalam menyelamatkan Kedah Darul Aman (KDA) FC daripada tersingkir dari saingan Liga Super musim 2024-2025.

Pengerusi Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC), Mohd Safarizal Mohd Sobri menjelaskan, pengurusan KDA FC diketuai pemiliknya, Tan Sri Mohd Daud Bakar harus berusaha menyelesaikan isu tunggakan gaji sebelum tempoh akhir yang diberikan Liga Bolasepak Malaysia iaitu pada 20 April ini.

Dia berkata, KDA FC mungkin boleh berbincang dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuk membuat pinjaman dana bagi menyelamatkan Sang Kenari dari jatuh ke liga bawahan.

“Jika individu lain atau KFA juga mempunyai pegangan saham dalam KDA, kami harap Presiden KFA membantu. Mungkin seperti bagi pinjaman untuk bayar tunggakan gaji dan dapat beraksi dalam Liga Super.

“Kita percaya jika KDA membuat permohonan yang lebih terbuka kepada Menteri Besar, beliau mungkin bantu kerana beliau juga bermain bola, minat bola dan tahu hiburan rakyat Kedah adalah bola.

“Sekiranya tiada bola sepak, apa yang ada pada Kedah ini. Malah, kalau kata sudah terdesak sangat, saya syorkan KDA pinjam wang dari kerajaan negeri atau KFA sendiri,” katanya kepada BH Sukan.

Kelmarin, Sanusi mengulangi pendirian dan polisi bahawa duit kerajaan negeri tidak akan digunakan bagi membiayai gaji pemain bola sepak serta masalah berkaitan kelab KDA FC yang sudah diswastakan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bantuan kepada pasukan bola sepak diberi dengan menggunakan ‘duit lain’ melalui KFA selaku badan bola sepak negeri yang mana persatuan itu juga membantu apabila menyumbang RM16 juta kepada KDA FC sejak kelab itu ditubuhkan.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli dalam laporan BH Sukan, hari ini, menegaskan bahawa hanya orang Kedah sahaja yang boleh selamatkan bola sepak Kedah.

Pekan berkata, ia termasuk kerajaan negeri sepatutnya dapat membentuk jalan penyelesaian terbaik bersama KDA FC untuk menyelamatkan bola sepak Kedah yang sedang menuju kejatuhan kerana masalah kewangan.

Selain itu, Safarizal juga meminta Mohd Daud atau pengurusan KDA FC memberi penjelasan kepada seluruh penyokong mengenai keadaan sebenar kewangan pasukan dan perkara lain mengenai skuad Sang Kenari.

Katanya, penyokong pasti tidak rela untuk melihat Sang Kenari yang menjadi antara pasukan memiliki sejarah gemilang dalam bola sepak Malaysia disingkir dari Liga Super dan menjejaskan sambutan 100 tahun KFA.

“Ada kemungkinan Kedah boleh tersingkir dari Liga Super dan jika ia terjadi, peminat sudah pasti sedih dengan sambutan 100 tahun KFA juga terjejas. Kita pun tidak pernah menjangka perkara seperti ini akan berlaku kepada Kedah.

sumber:- BH

“Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberikan tempoh hingga 20 April ini, kami minta jasa baik pemilik dan juga pengurusan merebut peluang yang diberikan, carilah dana macam mana sekali pun,” katanya.