Pemain beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi mahu mengambil langkah berjaga-jaga terutama dari segi prestasi di peringkat antarabangsa untuk mengelak daripada dicantas gandingan muda yang sedang meningkat naik.
Arif yang bergandingan bersama Yap Roy King berkata, mereka tidak boleh memperlahankan rentak memandangkan Aaron Tai-Khang Kai Xing sudah menempa gelaran pada kejohanan senior di Cabaran Antarabangsa Thailand.
“Persaingan di bahagian beregu lelaki sekarang sangat bagus, Aaron-Kai Xing pada usia 18 tahun sudah ada gelaran kejohanan senior, itu amat jarang dicapai,” kata Arif.
Ujarnya, tiga atau empat bulan lagi dia menjangkakan pasangan berkenaan mampu menyertai kejohanan lebih besar berstatus Super 100, Super 300.
“Jelajah Eropah kami bermula buruk, tidak menggembirakan pada minggu pertama di Switzerland kerana beg kami tidak sampai.”Di atas gelanggang kami beraksi teruk. Kami memenangi pusingan pertama dengan prestasi yang buruk sebelum tewas kepada Man Wei Chong-Tee Kai Wun, juga dengan aksi yang buruk,” katanya.
Tambah Arif, selepas habis perlawanan dia menghubungi jurulatih dan mendapat nasihat agar fokus kepada permainan dalam masa sama membiarkan Roy King mendapatkan rentak.
Mereka yang berada di ranking ke-50 dunia itu tidak menyangka dapat beraksi baik pada Masters Sepanyol dan melepasi sasaran ke suku akhir.
“Untuk melonjakkan ranking, saya dan Roy King tidak mahu sekadar mara ke suku atau separuh akhir, kami mahukan gelaran, sekurang-kurangnya dua.
“Ketika ini, saya rasa masalah kami adalah pada mata-mata penting, selalu tewas kepada lawan,” Arif.
Menurutnya, jurulatih belum mendedahkan perancangan kejohanan berikutnya untuk mereka sertai selepas ini.
sumber:- HM
Tahun lalu, mereka meraih satu gelaran di Cabaran Antarabangsa Nantes, Perancis.