sukan

TERKINI: Terengganu ditimpa malang berganda

Terengganu ditimpa malang berganda menjelang persiapan pramusim Liga Malaysia 2024/25 apabila terpaksa melupakan khidmat penjaga gol kebangsaan, Rahadiazli Rahalim, yang disahkan mengalami kecederaan.

Sebelum itu, kem pasukan Terengganu sudah pun kehilangan tonggak pertahanan, Azam Azmi Murad, akibat mengalami kecederaan sewaktu mewakili Malaysia dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 baru-baru ini.

Kelab berkenaan telah mengesahkan bahawa Azam terpaksa berehat untuk tempoh enam hingga ke lapan minggu susulan kecederaan di buku lali yang dialaminya ketika perlawanan tersebut.

Pengendali skuad Penyu itu, Tomislav Steinbruckner, menjangkakan Rahadiazli perlu diketepikan dalam tempoh beberapa minggu sebelum kembali menyertai pasukan untuk mengharungi cabaran musim ini.

Penjaga gol berusia 23 tahun itu mengalami kecederaan ketika berada dalam kem latihan pusat skuad bawah 23 tahun negara, sekali gus digugurkan ke Piala Asia bawah 23 tahun di Qatar bulan ini.

“Dia perlu menjalani rawatan di hospital untuk mengetahui perkembangan susulan kecederaannya. Buat masa ini, saya mempunyai dua pilihan penjaga gol sahaja iaitu Suhaimi Husin selaku penjaga gol utama dan Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin sebagai gantian,” katanya dalam sesi temu ramah bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Azam dan Rahadiazli dijangka akan terlepas aksi awal Liga Super yang dijadualkan berlangsung Mei depan.Bagaimanapun, skuad naib juara Piala Malaysia 2023 itu tetap bersedia dengan pemain yang sedia ada.

sumber:- SA

“Saya menjangkakan dalam beberapa bulan ini untuk mereka berdua memberikan kesungguhan yang baik dan sentiasa mempamerkan aksi yang cemerlang,” tambahnya.