sukan

TERKINI: FIB sah hukum Kedah

Badan bebas, First Instance Body (FIB) mengumumkan bahawa Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dikenakan hukuman pemotongan tiga mata bagi pertandingan Liga Super musim 2024-2025.

Hukuman itu dikenakan susulan kegagalan kelab terbabit membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023 dengan mereka turut dikenakan denda RM50,000.

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif menjelaskan KDA FC sudah diberikan masa untuk menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji berkenaan pada 30 Mac 2024, namun selepas tarikh akhir itu, kelab berkenaan gagal mematuhi syarat yang ditetapkan oleh FIB.

Beliau berkata, FIB mengambil maklum surat daripada KDA FC bertarikh 28 Mac 2024 berkaitan penyelesaian 50 peratus jumlah tunggakan gaji bagi tahun 2023 serta surat persetujuan penjadualan pembayaran baki tunggakan gaji yang ditandatangani 75 peratus pemain dan pegawai terbabit bertarikh 29 Mac 2024.

“Namun, ia masih tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan iaitu penyelesaian penuh tunggakan bayaran gaji bagi tahun 2023,” kata Sheikh Mohd Nasir dalam kenyataan, hari ini.

“Oleh yang demikian, pasukan KDA FC dikenakan pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super musim 2024-2025 serta denda sebanyak RM50,000 berkuatkuasa serta merta semalam (4 April 2024) berdasarkan kepada Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 ‘Article 2.4 (c) Licensing Sanctions’.

“Bagaimanapun, sekiranya KDA FC gagal membuat pembayaran penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023 atau mengemukakan bukti dokumen kewangan untuk menyelesaikan pembayaran pada 20 April 2024 jam 5 petang, maka Lesen Kebangsaan KDA FC boleh ditarik balik seterusnya kelab itu tidak layak untuk beraksi dalam saingan Liga Super bagi musim 2024-2025.”

sumber:- BH

Sementara itu, Sheikh Mohd Nasir mengesahkan bahawa Kuala Lumpur (KL) City FC berjaya menyelesaikan pembayaran tunggakan gaji bagi tahun 2023 sebelum tarikh akhir 30 Mac 2024.