KL City FC tidak berdepan sebarang masalah untuk mendaftarkan mana-mana pemain baharu selepas pasukan itu sudah ‘dibebaskan’ daripada sekatan pendaftaran pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard menyatakan perkembangan mengenai sekatan pendaftaran pemain ditarik balik itu sudah disahkan FIFA sendiri menerusi Sekretariat Umum FIFA dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“KL City FC sudah lunaskan (hutang bekas pemain) pada 27 Mac, jadi KL City FC sudah dibebaskan daripada sekatan pendaftaran pemain,” kata Stanley.
Dalam masa sama, Stanley turut berkongsi dua pucuk surat daripada Sekretariat Umum FIFA dan FAM yang mengesahkan mengenai perkara terbabit.
Menerusi surat daripada Sekretariat Umum FIFA, FIFA memaklumkan kes terbabit sudah ditutup sekali gus menyaksikan sekatan pendaftaran pemain yang dikenakan ke atas KL City FC ditarik.
Dalam surat daripada FAM yang ditandatangani Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman, FAM mengesahkan kes diselesaikan selepas pembayaran penuh diterima sepenuhnya responden.
Justeru, perintah larangan pendaftaran pemain tempatan dan antarabangsa ke atas KL City FC ditarik balik serta merta.
Sebagai rekod, skuad ‘Warga Kota’ sudah membawa masuk beberapa pemain tempatan baharu seperti Brendan Gan, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Nick Swirad dan juga S Sharvin.
Terdahulu, KL City FC menjadi satu daripada enam pasukan Liga M yang dikenakan sekatan pendaftaran pemain oleh badan induk bola sepak antarabangsa itu berdasarkan semakan di laman sesawang knowledge.fifa.com.
Selain KL City FC, lima lagi pasukan adalah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kelantan FC, Melaka United (MU) Sarawak United dan Perlis FA.
sumber:- BH
Semakan lanjut mendapati dua pasukan Liga Super masing-masing KL City FC mula dikenakan sekatan perpindahan pada 1 Februari lalu manakala KDA FC bermula 4 Mac.