sukan

Bintang Man United sahkan neneknya dari Malaysia

Pemain kacukan Malaysia yang berada di luar negara semakin membina nama di pentas antarabangsa sehingga mampu menembusi skuad utama kelab gergasi dunia.

Terbaharu pemain berdarah Malaysia-England, Ethan Wheatley kini mula menjalani latihan bersama skuad utama Manchester United.

Kemas kini maklumat daripada laman Frfuturetalents memaklumkan pemain berusia 18 tahun itu mula menarik perhatian ketua jurulatih, Erik Ten Hag.

Ini kerana, pemain kelahiran Stockport, England itu antara tonggak utama skuad Bawah 18 Tahun (B-18) Manchester United apabila meledak lima gol dalam enam perlawanan di U18 Premier League 2023/2024.

Dia yang memiliki pertalian darah dengan Malaysia melalui neneknya yang berasal dari Selangor turut mengakui sering bercuti ke Malaysia.

“Benar, nenek saya dilahirkan dan berasal dari Selangor. Tetapi, dia (nenek) berpindah ke England ketika usia muda. Semasa saya kecil, keluarga kami sering bercuti di Kuala Lumpur,” kata pemain terbabit kepada laman Frfuturetalents.

Setakat ini, Wheatley belum diberikan peluang untuk beraksi bersama skuad utama Manchester United, namun kemungkinan akan menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat ini.

Berdasar kepada keupayaan pemain terbabit dilihat antara individu versatil dan mampu membantu bahagian serangan skuad Harimau Malaya jika dia mahu beraksi untuk Malaysia.

Sementara itu, penyerang kelahiran Belanda, Ferdy Druijf menyuarakan hasrat ingin menyarung jersi Harimau Malaya pada masa akan datang.

Perkara itu dikongsi pemain berkenaan menerusi Frfuturetalents yang menghubungi pemain terbabit untuk memperoleh maklumat lebih terperinci berkaitan individu itu.

Penyerang berketinggian 1.90 meter itu dikatakan sedang dalam proses menyediakan dokumen untuk membuktikan neneknya dilahirkan di Malaysia.

sumber:- HM

“Keinginan saya untuk bermain bersama Malaysia ada, tetapi buat masa ini saya sedang menyediakan dokumen bagi membuktikan nenek saya dilahirkan di Malaysia,” kongsi Ferdy.