sukan

Arsenal kembali rampas puncak Liga

Arsenal menewaskan Luton 2-0 untuk kembali memintas Liverpool di puncak Liga Perdana Inggeris.

Kapten Gunners, Martin Odegaard membuka jaringan di pertengahan babak pertama dan gol sendiri Luton sebelum rehat meletakkan tuan rumah dalam kedudukan selesa.

Kemenangan itu meletakkan Arsenal pada 68 mata – satu di depan Liverpool kendalian Jurgen Klopp yang berpeluang merampas kembali takhta liga apabila menerima kunjungan Sheffield United malam ini.

Skuad kendalian Mikel Arteta menguasai permainan di Emirates tetapi tidak banyak mencipta peluang gol.Mereka memecah kebuntuan pada minit ke-24 menerusi rembatan kaki kiri Odegaard selepas gerakan satu dua antara Emile Smith-Rowe dan Kai Havertz.

Arsenal menambah jaringan pada minit ke-44 selepas pertahanan Luton, Daiki Hashioka tertampan bola ke gawang sendiri hasil usaha Smith-Rowe yang mengasak dari sebelah kiri.

The Gunners, yang belum pernah menjuarai liga sejak tahun 2004, memenangi sembilan daripada 10 aksi terakhir liga – tercicir mata hanya ketika seri tanpa jaringan menentang Manchester City pada Ahad lalu.

sumber:- BH

Anak buah Arteta yang hanya dibolosi empat kali dalam aksi liga tahun ini, akan bertandang ke Brighton pada Sabtu sebelum melayan kunjungan Aston Villa pada 14 April. – AFP