sukan

Safee Sali mohon tiada liputan media di Mahkamah

Bekas pemain kebangsaan, Safee Sali mengharapkan kerjasama daripada pihak media untuk tidak melakukan sebarang liputan mengenai kes sedang dilaluinya dan bekas isterinya, Fitria Elfina Maharip sehingga ia diselesaikan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Peguam yang mewakili Safee, Syazwan Mohd Jafri memaklumkan, anak guam mereka mengarahkan media agar tidak melakukan sebarang liputan agar tiada maklumat salah faham berkenaan kes berkenaan sehingga ia mengganggu proses kes yang sedang berjalan ketika ini.

“Justeru, kami telah diarahkan oleh anak guam kami untuk menyatakan bahawa anak guam kami menuntut kepada pihak kamu selaku pihak media agar tidak menghadirkan diri ke mahkamah.

“Juga untuk tidak mengganggu proses mahkamah yang sedang berlangsung dengan melaporkan berita spekulasi, sekali gus menghormati privasi anak guam kami dalam isu peribadi ini.

“Oleh itu, sila ambil perhatian bahawa kami dengan ini menuntut dari pihak kamu selaku salah satu pihak media untuk tidak menghadirkan diri ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi tujuan mendapatkan liputan isu perceraian anak guam kami, tidak mengganggu proses mahkamah yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Dan untuk tidak menerbitkan sebarang berita, artikel dan/atau video berkenaan apa-apa yang berlaku pada tarikh tersebut di atas sama ada yang melibatkan anak guam kami secara langsung mahupun secara tidak langsung,” kata peguam itu.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pendedahan Fitria Elfina yang terputus hubungan dengan dua anak perempuannya sejak awal Februari lalu.

Ia membuatkan suri rumah itu tiada pilihan terpaksa memfailkan tuntutan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sebelum prosedur sulh kedua-dua pihak yang berlangsung pada 18 Mac lalu gagal mencapai kata sepakat.

sumber:- HM

Safee dan Fitria Elfina berkahwin pada 21 Disember 2013 dan dikurniakan dua anak perempuan.