sukan

Syafiq Ahmad akui setiap jaringannya penting

Penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad mengakui setiap jaringan dihasilkannya dalam tempoh pramusim begitu penting buat dirinya dalam mengejar tahap prestasi terbaik bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M).

Menyedari peluang yang terhidang untuk kembali menyengat bersama Sang Kenari pada musim ini, pemain yang sekali lagi dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) itu enggan mempersiakan tempoh yang ada bagi menajamkan sentuhan.

“Walaupun hanya perlawanan ‘sparring’ seperti ini, saya tetap anggap setiap jaringan cukup penting dalam aspek meningkatkan lagi tahap perkembangan permainan saya.

“Gol peribadi yang saya cari dalam tempoh pramusim memang penting, ia bukan sahaja membantu untuk memberi kemenangan tetapi juga keyakinan.

“Tahap kecergasan semua pemain pula masih belum berada pada paras seratus peratus setakat ini memandangkan kita baru sahaja berlatih dalam tempoh tiga minggu.

“Namun saya yakin kami secara berperingkat sedang membina tahap kecergasan dan keupayaan yang pasukan sasarkan,” katanya selepas aksi menentang Penang FC bawah 23 tahun di Stadium Sultan Abdul Halim kelmarin.

sumber:- BH

Pada aksi berkenaan, KDA FC yang disertai import baharu seperti Sony Norde, Sukhrob Nurullaev dan Habib Haroon menewaskan lawan 4-0 hasil jaringan Syafiq pada minit ke-86 selain gol Akmal Zahir, Loqman Hakim dan Rizal Ghazali.