sukan

Pemain naturalisasi baharu tidak kekok berpuasa

Pemain naturalisasi baharu Indonesia, Ragnar Oratmangoen menyatakan dirinya tidak menghadapi kesukaran begitu besar untuk berpuasa pada bulan Ramadan meskipun dia seorang mualaf kerana dirinya sudah lama mengamalkan Rukun Islam yang ketiga itu.

Malah, dia begitu gembira apabila mendapat khabar bahawa dalam skuad Garuda terdapat ramai pemain Muslim sepertinya dan itu membuatkan dia lebih bersemangat untuk bersama pasukan itu kerana sebelum ini, dirinya hanya dikelilingi beberapa pemain yang beragama Islam di dalam pasukan.

“Ini bagus apabila saya mendengar banyak kawan-kawan Muslim dalam pasukan (Indonesia) membuatkan saya ia menjadi sesuatu hal yang baharu di dalam lingkungan yang baharu.

“Biasanya saya ada di pasukan yang hanya ada mungkin dua, tiga atau empat pemain sahaja yang berpuasa di bulan Ramadan tetapi sekarang di sini majoriti pemain adalah beragama Islam. Iya sudah pasti ini sesuatu yang istimewa buat diri saya.

“Saat saya berusia 15 tahun ketika itu, saya mula dengan berpuasa pada bulan Ramadan, jadi saya sudah menjalankan puasa lebih kurang 10 atau 11 tahun,” katanya.

Menurut pemain berusia 26 tahun itu, kehidupannya mula berubah ketika dia berusia 15 tahun dan dirinya sangat yakin dengan pilihan yang dilakukan itu amat tepat dalam hidupnya.

“Saya tidak dilahirkan sebagai Muslim, saya lahir dan dibesarkan sebagai seorang Kristian tapi apabila saya meningkat dewasa, saya menemukan jalan untuk memeluk (agama) Islam untuk saya belajar lebih banyak tentang tuhan (Allah).

“Saya banyak waktu juga bersama rakan-rakan (beragama Islam) dan mereka juga mengajak saya ke masjid dan mereka mengajar tentang tuhan, agama serta bagaimana ia boleh membantu dalam kehidupanmu dan hal itu amat menyentuh hati saya. Perkara itu membolehkan saya memilih untuk menjadi seorang Muslim,” katanya yang lahir di Oss, Belanda.

Tambahnya, dia juga begitu teruja dan tersentuh hati ketika mendengar azan buat pertama kali di saat berlatih bersama-sama rakan dalam skuad kebangsaan Indonesia.

“Untuk saya pertama kali mendengar azan ketika latihan, saya mendengarnya dan bagi saya itu adalah sesuatu yang sangat indah dan itu pengalaman baharu bagi saya apabila mendengar panggilan untuk berdoa. Hal itu yang sangat istimewa di sini (dalam pasukan Indonesia),” katanya.

Di samping itu, ketika ditanya apakah dirinya sememangnya mempunyai pertalian darah dengan negara Indonesia, dirinya mengakui dan menyatakan dia mempunyai ikatan bersama negara itu. “Iya, datuk dan nenek saya serta ayah saya lahir di Indonesia termasuk beberapa saudara saya juga lahir di sini, di Ambon, (Indoenesia),” katanya.

Untuk makluman, Oratmangoen ketika ini beraksi bersama pasukan Fortuna Sittard secara pinjaman dan kelabnya berada di kedudukan kesembilan dalam saingan liga utama Belanda, Eredivisie.

Terdahulu, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dengan kerjasama Kerajaan Indonesia melakukan tindakan begitu pantas dalam masa yang singkat untuk menjadikan Oratmangoen dan seorang lagi temannya, Thom Haye sebagai pemain naturalisasi agar mereka boleh beraksi menentang Vietnam dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.

Perkara itu membuahkan hasil yang sangat positif apabila mereka berjaya membantu skuad Garuda mencatat kemenangan 3-0 ke atas Vietnam pada 26 Mac dan itu adalah kemenangan ketiga berturut-turut ke lawan mereka itu.

sumber:- HM

Meskipun melakukan penampilan pertama kali bersama pasukan Indonesia, dia yang beraksi di posisi sayap tidak mengambil masa lama apabila berjaya membuka akaun jaringan pertamanya baru-baru ini dan membolehkan skuad kendalian Shin Tae-yong berada di kedudukan kedua dalam Kumpulan F sekali gus peluang ke pusingan ketiga Piala Dunia 2026 dan automatik ke Piala Asia 2027 semakin cerah.