sukan

Idea terbaik Peluang 100 peratus untuk layak — Pan Gon

HARIMAU Malaya menempah laluan berliku untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 selepas tewas kepada Oman 0-2 dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

Kekalahan itu menyaksikan skuad negara tidak mempunyai pilihan perlu mencatatkan keputusan positif dalam dua aksi menentang Kyrgyzstan di laman lawan dan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil Jun nanti.

Ketika ini, skuad kendalian Kim Pan-gon itu berada pada kedudukan ketiga Kumpulan D dibezakan tiga mata dengan Oman di kedudukan kedua dan Kyrgyzstan yang memimpin kumpulan.

Bagaimanapun, Pan-gon tetap optimis dan menyifatkan peluang pasukan negara belum tertutup untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Kita masih ada dua perlawanan dan idea terbaik adalah menang kedua-dua perlawanan itu. Jika menang kita ada peluang 100 peratus untuk layak.

“Namun, kita tahu bermain di laman lawan menentang Kyrgyzstan yang lebih bagus sangat sukar, tetapi kalau ada keajaiban kita boleh mara.

“Sebagai pemain, jurulatih dan penyokong jangan menyerah kalah. Kita akan berjuang sehingga penghujung. Ini bukan pengakhiran dunia,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Sebelum ini, skuad negara juga tewas 0-2 kepada Oman dalam perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Sultan Qaboos Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Pan-gon menegaskan skuad negara tidak layak untuk tewas dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu berdasarkan kesungguhan yang telah ditunjukkan pemain.

“Untuk pemain, mereka berada dalam situasi sukar dan mereka telah buat yang terbaik. Saya rasa kita tidak patut tewas perlawanan ini.

sumner:- SH

“Kami mahu menewaskan mereka dan Harimau Malaya boleh memberikan keputusan yang lebih baik. Pemain tidak patut menerima kekalahan ini dan kritikan,” katanya.