sukan

Dua kekalahan Malaysia beri kelebihan kepada Indonesia

Dua kekalahan berturut-turut kepada Oman memberi impak kepada kedudukan Malaysia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Harimau Malaya tewas 0-2 kepada Oman di Muscat, Jumaat lalu sebelum tewas dengan jaringan sama dalam aksi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Berdasarkan perkiraan laman footranking.com, Harimau Malaya akan kehilangan 15.63 mata dan dijangka turun lima anak tangga iaitu jatuh ke kedudukan 137 dunia.

Sebelum aksi berdepan Oman, skuad kendalian Kim Pan Gon berada pada kedudukan 132 dalam ranking FIFA dengan mengumpul 1110.17 mata.

Situasi itu bakal menyaksikan Malaysia dipintas Indonesia selepas lima tahun apabila skuad Garuda meraih dua kemenangan berturut-turut ke atas gergasi Asia Tenggara, Vietnam dalam kempen kelayakan.

Indonesia yang menewaskan Vietnam 1-0 dan 3-0 dalam aksi Kumpulan F menambah 30.03 mata dalam ranking FIFA dan naik sembilan anak tangga ke kedudukan 133 dunia, berbanding 142 sebelum ini.

sumber:- BH

Vietnam yang sebelum ini berada di ranking 105 pula dijangka jatuh 10 anak tangga ke kedudukan 115 apabila kehilangan 30.03 mata.