sukan

“Mentaliti bodoh sombong ” — TMJ

“Mentaliti bodoh sombong, cepat puas hati, selesa, tidak boleh terima fakta dan sentiasa ada alasan yang akan jatuhkan standard liga kita.”

Demikian pandangan pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim mengenai padang bola sepak dimiliki kebanyakan pasukan yang bertanding di Liga Malaysia (Liga M) yang dianggap masih jauh ketinggalan dengan pasukan dari negara serantau.

Baginda yang juga Pemangku Sultan Johor berkata, perkara seperti itu boleh dilihat setiap kali perlawanan berlaku dalam cuaca hujan lebat, keadaan padang pasti akan bertakung air dan salah satu sebabnya kerana kebanyakan pasukan di Liga M masih menggunakan padang jenis Cow Grass.

“Bukan SNBJ (Stadium Nasional Bukit Jalil) sahaja, semua stadium dalam negara sama, padang berlopak apabila hujan. Yang tidak berlopak hanya SSI (Stadium Sultan Ibrahim) Johor. Itu adalah fakta. Cow Gross mempunyai tanah liat bercampur dengan tanah gambut.

“Itu membuat air susah nak resap. Kita juga satu-satunya negara south east asia (Asia Tenggara) yang masih sanjung rumput lembu/cowgrass,” katanya menerusi perkongsian di Instagram Story.

Tambahnya, bukan setakat padang sahaja, penyediaan fasiliti dan infrastruktur yang ada untuk digunakan oleh pasukan Liga M masih di tahap rendah.

“Fasiliti dan infrastruktur bola sepak (Malaysia) teruk. Mentaliti bodoh sombong, cepat puas hati, selesa, tidak boleh terima fakta dan sentiasa ada alasan yang akan jatuhkan standard liga kita.

“Thailand sudah atas kita. Indonesia atas kita dalam segi infrastruktur dan kalau mentaliti kita tidak berubah. Liga negara macam Vietnam, Filipina dan Cambodia (Kemboja) akan pintas kita dalam segi infrastruktur bola sepak yang memainkan peranan penting dalam melahirkan kualiti dan standard liga. ‘Good Luck’,” katanya.

Dalam perkongsian itu, pemilik JDT itu ada menyebut Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan ia seakan-akan memberi mesej yang jelas agar pihak berwajib untuk mengambil maklum dan bersedia untuk berubah bersama-sama ke arah lebih baik.

sumber:- HM

Tunku Mahkota Ismail berkongsi gambar di Instagram Story miliknya yang menunjukkan perbezaan padang antara SNBJ serta Stadium Nasional Rajamangala, Thailand dan padang negara jiran itu kelihatan sangat cantik dan tidak terjejas ketika hujan.