sukan

Rating pemain Malaysia berdepan Oman

Impian skuad negara untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata dari bumi Oman musnah apabila tewas 0-2 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, awal pagi tadi.

Kekurangan dalam aspek kecergasan perlawanan atau ‘match fitness’ dilihat membelenggu pemain yang menyaksikan Harimau Malaya tidak dapat mempamerkan aksi lebih bertenaga bagi aksi ketiga Kumpulan D itu.

Perkara berkenaan sebelum ini sudah menjadi kerisauan banyak pihak termasuk ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon sendiri susulan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini hanya akan bermula pada Mei depan.

Justeru, dengan segala kelebihan yang dimiliki Oman termasuk dari segi kecergasan pemain mereka dan aksi di tempat sendiri, skuad kendalian Jaroslav Silhavy jelas lebih menguasai permainan berbanding Harimau Malaya.

Berikut adalah rating pemain Malaysia dalam aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Sultan Qaboos cdekat Muscat.

JURULATIH

Kim Pan Gon 6.5/10

Taktikal lebih kepada bertahan berjaya mengekang Oman daripada mendapatkan jaringan pada babak pertama.

Bagaimanapun, faktor kecergasan pemain Harimau Malaya dilihat menyebabkan serangan balas tidak dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

PEMAIN

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed 6/10

Beraksi dengan baik di babak pertama dengan menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Oman.

Namun, Syihan dibolosi dua gol pada separuh masa kedua yang mana dia terpedaya dengan tampanan Muhsen Al Ghassani pada minit ke-88 yang menyumbang jaringan kedua Oman.

Shahrul Saad 6.5/10

Gandingannya bersama Dion Cools dan Dominic Tan di bahagian pertahanan tampak berjaya mengekang asakan yang dilakukan Oman terutama sepanjang babak pertama.

Shahrul dikeluarkan pada minit ke-84 dan digantikan dengan penyerang, Darren Lok.

Daniel Ting 5.5/10

Diletakkan dalam kesebelasan utama susulan ketiadaan Matthew Davies, Ting bekerja keras dalam mempertahankan benteng di bahagian kanan dan turut membantu bahagian sayap, namun persembahannya kurang memuaskan.

Dominic Tan 7/10

Beberapa kali melakukan tindakan penting dalam menghalang Oman daripada mendapatkan jaringan terutama pada babak pertama.

Dion Cools 6.5/10

Cools juga dilihat kurang menyerlah dalam perlawanan itu dengan beberapa hantarannya kurang tepat kepada rakan sepasukan.

La’Vere Corbin Ong 7/10

Kekal sebagai antara pemain yang sentiasa bekerja keras di atas padang, namun kelekaan pada minit ke-58 membuka ruang buat Issam Al Sabhi meledak gol pertama Oman.

Brendan Gan 5.5/10

Kurang menjadi dibahagian tengah, Brendan dilihat tidak memberi tekanan kepada Ali Al Busaidi hingga membolehkan pemain itu melakukan hantaran yang mencetus gol pertama Oman.

Stuart Wilkin 6/10

Gagal membentuk penguasaan di bahagian tengah bersama Brendan yang menyaksikan tidak banyak umpanan lebih berkesan kepada bahagian serangan Harimau Malaya.

Faisal Halim 6.5/10

Pergerakan Faisal tampak terbatas dalam perlawanan itu dengan dia dilihat tewas terhadap permainan fizikal pemain Oman.

Arif Aiman Hanapi 7/10

Pemain yang paling banyak mengucar-kacirkan pertahanan Oman dengan dia beberapa kali berjaya melakukan gelecekan dan larian pantas menerusi bahagian sayap.

Romel Morales 6/10

Tidak banyak peluang yang diperoleh Morales untuk mencipta jaringan yang mana dia juga dilihat terpaksa turun ke bawah untuk mendapatkan bola.

PEMAIN GANTIAN

Endrick Dos Santos 4/10

Masuk menggantikan Brendan pada minit ke-67, Dos Santos mengubah sedikit corak permainan Harimau Malaya di bahagian tengah.

Azam Azmi Murad 4/10

Azam juga masuk pada minit ke-67 menggantikan Daniel Ting, namun tidak berjaya memberi impak yang besar dengan Oman memperoleh gol kedua menerusi gerakan di sebelah kanan pintu gol Malaysia.

Paulo Josue 3.5/10

Masuk pada minit ke-76, tidak berjaya memberikan kesan terutama bagi bahagian serangan.

Akhyar Rashid 3.5/10

Akhyar juga bergelut untuk memberikan aksi terbaik selepas dimasukkan pada minit ke-76.

Darren Lok N/A

Hanya beraksi beberapa minit termasuk masa kecederaan selepas masuk menggantikan Shahrul Saad pada minit ke-84.

sumber:- BH