sukan

Demi Negara bukan masalah besar

Menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya dalam tempoh Ramadan bukanlah perkara yang mudah untuk diharungi walaupun bergelar pemain bola sepak profesional.

Ketika ini, barisan pemain Harimau Malaya mengharungi perlawanan kumpulan D kelayakan kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.

Lebih memeritkan, persediaan harus dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan sekali gus menuntut barisan pemain beragama Islam mengerah kudrat sambil berpuasa.

Menurut tonggak Harimau Malaya Safawi Rasid, barisan pemain Harimau Malaya tetap menjalani latihan seperti biasa walaupun terpaksa menahan lapar dan dahaga.

Katanya, sesi latihan yang diadakan pada waktu malam membolehkan barisan pemain Harimau Malaya menunaikan ibadah puasa tanpa sebarang masalah.

“Cuma, ketika berbuka puasa, barisan pemain Harimau Malaya beragama Islam tidak bolehlah makan terlalu banyak atau ‘tidak ingat dunia’ kerana akan menjejaskan momentum ketika sesi latihan.

“Segalanya tiada masalah untuk menjalani latihan dan situasi itu sebenarnya memberi pengalaman menarik buat pemain Harimau Malaya,” katanya.

Sementara itu, tonggak Terengganu FC Azam Azmi Murad berkata, berpendapat puasa tidak boleh menjadi alasan untuk barisan pemain mempamerkan aksi lemau dan tidak berlatih bersungguh-sungguh untuk mengharungi perlawanan penting kelak.

“Jika diikutkan memang penat berbeza berbanding hari lain namun kita perlu menganggap ia sebagai cabaran yang harus ditempuhi sebagai umat Islam.

“Di negara luar, kita boleh lihat pemain beragama Islam tetap beraksi dalam perlawanan kompetitif ketika mereka berpuasa dan situasi itu seharusnya dijadikan contoh kepada kita.

“Setakat ini, sesi latihan yang dikendalikan barisan kejurulatihan tidaklah terlalu berat dan saya tiada masalah untuk mengikutinya sepanjang tempoh Ramadan,” kata pemain yang beraksi di bahagian pertahanan.

Sementara itu, penjaga gol skuad kebangsaan Suhaimi Husin tidak pernah menganggap bulan Ramadan bakal menyusahkan barisan pemain Harimau Malaya beragama Islam untuk menjalani latihan.

“Berpuasa sambil menjalani latihan mengajar kita untuk lebih kental mengharungi situasi mencabar,” kata pemain berasal dari Kuala Terengganu itu.

Mengikut rekod, seramai 24 pemain di bawa ke Muscat, Oman bagi mengharungi perlawanan ketiga Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman di Sultan Qaboos Sports Complex.

Pasukan negara akan menentang Oman sebelum bertemu sekali lagi di Bukit Jalil dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu.

sumber:- HM

Ketika ini, Malaysia menduduki tangga pertama Kumpulan D dengan mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan.