sukan

‘Kehilangan’ beberapa pemain cabaran buat Garrido

Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara tampak belum ‘siap’ untuk mengharungi Piala Asia B-23 sekali gus menyaksikan banyak lagi kerja yang perlu dilakukan sebelum berentap di Qatar, pertengahan bulan depan.

Pengendali skuad B-23, Juan Torres Garrido mengakui cabaran besar sedang dihadapi skuad Harimau Muda terutamanya selepas mengambil kira pemain sudah berehat untuk tempoh jangka masa yang panjang dan saingan domestik belum lagi bermula.

Malah, mereka ‘kehilangan’ beberapa pemain yang ‘dipinjamkan’ ke skuad Harimau Malaya bagi kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 dan perlu menjalani latihan dengan skuad yang belum lengkap buat masa ini.

“Pemain sudah berehat lama, jadi kita perlu menilai tahap kecergasan mereka terlebih dahulu selain keadaan fizikal dan psikologi mereka. Selepas kita mendapatkan status terkini, baru kita boleh meletakkan jangkaan ke atas mereka.

“Kita perlu tahu bahawa sudah empat bulan sejak panggilan terakhir dilakukan dan kita tidak ada skuad yang lengkap. Jadi kita tunggu bagaimana keadaan mereka selepas selesai menjalani latihan buat beberapa hari,” kata Garrido.

Dalam masa sama, Garrido juga mengharapkan beberapa pemain skuad B-23 yang berpeluang menyertai skuad kebangsaan ke Oman dapat memanfaatkan peluang terbabit dan akan kembali dengan semangat lebih tinggi dan permainan lebih mantap.

“Bagus untuk pemain B-23 berada bersama skuad senior kerana kita tahu skuad senior berada pada tahap yang berbeza. Ini akan menjadi detik indah untuk mereka khususnya dalam persediaan untuk ke Piala Asia B-23 nanti.

“Mereka juga menunjukkan persembahan yang baik ketika aksi pemanas badan menentang Nepal meskipun masih berada pada pramusim. Selepas beberapa minggu, saya percaya mereka akan kembali ke tahap sebenar,” katanya.

sumber:- BH

Sebagai rekod, skuad bimbingan Garrido akan mengharungi empat aksi pemanas badan iaitu berdepan India pada 22 dan 25 Mac sebelum menentang China (3 April) dan tuan rumah Piala Asia B-23, Qatar pada 7 April.