sukan

Jangan peduli ‘misteri’ Silhavy — Brendan Gan

Oman sememangnya boleh dianggap ‘misteri’ selepas dikendalikan jurulatih baharu, Jaroslav Silhavy namun tonggak tengah negara, Brendan Gan menegaskan skuad negara perlu lebih fokus terhadap persiapan sendiri daripada terlalu memikirkan mengenai lawan.

Pemain berusia 35 tahun itu mengakui Oman bakal memberikan cabaran yang sukar namun mereka tidak seharusnya mensia-siakan peluang untuk mendapatkan keputusan positif yang akan membawa mereka selangkah lagi ke pusingan seterusnya.

“Jurulatih mereka sudah bertukar jadi sudah tentu akan ada taktikal baharu yang berbeza berbanding sebelum ini. Inilah cabaran bagaimana kita mahu mengetahui cara mereka bermain, bagaimana mereka akan bertindak balas dan apa yang akan mereka lakukan.

“Bagi saya, kita perlu fokus pada persiapan kita dan tahu apa yang sepatutnya kita lakukan. Kita harus tahu bagaimana kita boleh menjadi lebih baik dan layak ke Piala Asia sekali lagi.

“Perbetulkan kesilapan daripada perlawanan di Piala Asia 2023. Ini satu perjalanan yang panjang tetapi kami bersedia untuk berikan yang terbaik.

“Kita berada pada kedudukan yang terbaik ketika ini jadi kita tidak mahu membazirkan kedudukan itu,” kata bekas pemain Selangor FC (SFC) itu.

Sebagai rekod, Malaysia akan menentang Oman di Kompleks Sukan Sultan Qaboos jam 9 malam waktu tempatan (2 pagi Jumaat waktu Malaysia) sebelum menentang lawan sama di Stadium Nasional Bukit Jalil, 26 Mac ini.

sumber:- BH

Ketika ini, skuad bimbingan Kim Pan Gon berada pada landasan terbaik untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan slot automatik ke Piala Asia 2027 selepas mendahului Kumpulan D dengan enam mata.