sukan

Mereka buat kami tidak selesa

Beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui sukar untuk menandingi lawan biarpun beberapa kali menukar taktikal permainan sebelum tewas kepada gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dalam aksi final Seluruh England, awal pagi semalam.

Wooi Yik mengakui pukulan balas lawan yang mengelirukan antara kelebihan Fajar-Rian dalam aksi final berkenaan dan akhirnya mereka tunduk dalam pertarungan straight set 16-21, 16-21 dalam masa 44 minit di Utilita Arena, Birmingham.

Katanya, dia bersama Aaron cuba bangkit pada set kedua, namun percaturan Fajar-Rian lebih menjadi dan akhirnya berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali kedua.

“Aksi mereka sangat konsisten dan kami cuba untuk menukar strategi supaya kami selesa dengan cara permainan yang kami inginkan.

“Tapi kawalan gelanggang dan ‘service receiving’ mereka amat berkualiti dan membuatkan kami tidak selesa,” Wooi Yik kepada BWF, sejurus selepas tamat perlawanan akhir itu.

Perkara sama turut dirasai Aaron apabila momentum kemenangan gagal diteruskan di pentas akhir.

“Kami bermain mengikut apa yang kami mahukan tapi ia tidak menjadi dan lawan lebih baik.

“Apapun saya tetap gembira dengan prestasi kami sepanjang minggu ini dan akan meneruskan momentum ini,” kata Arron.

Aksi di Seluruh England menjadi pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik musim ini apabila layak ke final pertama selepas sekadar mara ke separuh akhir Terbuka India dan suku akhir Terbuka Malaysia dan Terbuka Perancis.

sumber:- HM

Bagaimanapun, mereka tidak akan beraksi di Terbuka Switzerland dan akan kembali ke tanah air untuk memperkemas permainan sebelum saingan Sukan Olimpik Paris 2024 bermula pada Julai hingga Ogos depan.