sukan

Rekod 60 Tahun akhirnya lebur

Harry Kane memecah rekod berusia 60 tahun bagi gol terbanyak dijaringkan dalam musim sulung manakala Jamal Musiala meledak dua gol ketika Bayern Munich membenam Darmstadt 5-2 di gelanggang lawan lewat malam tadi.

Dengan 31 gol dalam 26 perlawanan liga sejak tiba dari Tottenham pada musim panas lalu, Kane mengatasi rekod legenda Jerman, Uwe Seeler, yang menyumbat 30 gol buat Hamburg pada musim 1963-64.

Musiala turut mencipta satu umpanan dalam kemenangan itu, yang mengekalkan harapan tipis Bayern untuk mempertahankan kejuaraan Bundesliga, melonjak tujuh mata di belakang Bayer Leverkusen, yang berkunjung ke Freiburg malam ini.

“Kami kekal bersaing. Kami bekerja keras untuk mencipta beberapa peluang dan kami mengambilnya,” kata kapten Bayern, Manuel Neuer, memuji “pencetus perbezaan seperti Jamal di tengah padang.”

Penjaga gol itu bagaimanapun kecewa pasukannya melepaskan dua gol menentang pasukan tangga tercorot Darmstadt dan berkata: “Kami perlu mengatasi masalah itu.”

Darmstadt mengejutkan Bayern selepas 28 minit, Tim Skarke menggunakan kesempatan susulan kesilapan bertahan oleh Eric Dier untuk menjaringkan gol dan memberikan tuan rumah sekelumit harapan untuk mengejutkan juara Jerman itu.

Related Post

Kane bagaimanapun mengemudi Bayern untuk mendahului sebelum rehat, mengumpan kepada Musiala bagi gol penyamaan pada minit ke-36 sebelum dia sendiri meledak gol, melonjak tinggi untuk menanduk masuk hantaran lambung Joshua Kimmich pada masa kecederaan babak pertama.

Musiala menambah satu gol lagi pada pertengahan babak kedua apabila dia menyambar lontaran masuk Thomas Mueller dan menggelecek pertahanan lawan sebelum merembat melalui celah kelangkang penjaga gol.

Seperti yang dilakukannya minggu lalu, Serge Gnabry menjaringkan gol sejurus hadir dari bangku simpanan untuk memastikan kemenangan.

sumber:- BH

Pemain Bayern, Mathys Tel dan pemain Darmstadt, Oscar Vilhelmsson kedua-duanya menambah gol pada masa kecederaan. – AFP