sukan

Aaron-Wooi Yik bergaya ke Separuh Akhir All England

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahu meletakkan nama mereka sebaris dengan legenda badminton dunia dengan merangkul gelaran juara di Seluruh England.

Pasangan nombor lima dunia itu semakin hampir untuk merekodkan gelaran sulung dalam kejohanan berprestij yang berusia 125 tahun itu selepas mengesahkan tiket ke separuh akhir, awal pagi tadi.

Aaron-Wooi Yik menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik selepas mengatasi beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 21-14, 21-11 pada aksi suku akhir di Utilita Arena, Birmingham.

Kemenangan itu meletakkan mereka kini hanya selangkah lagi untuk mengulangi pencapaian mara ke final pada edisi 2019.Wooi Yik berkata selepas mara ke final lima tahun lalu, mereka berharap dapat meletakkan nama dalam senarai juara Seluruh England seperti legenda badminton dunia termasuk bekas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei.

Katanya, kejayaan Chong Wei yang muncul juara empat kali pada kejohanan itu sentiasa menjadi inspirasi kepada mereka.”Kami berjaya ke final sebelum ini tetapi tewas di tangan Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan (Indonesia). Ia adalah satu memori yang tidak dapat dilupakan dan pengalaman itu membuatkan kami menjadi lebih baik.

“Kami harap boleh mara ke final sekali lagi. Kejohanan ini adalah kejohanan yang sangat istimewa, ramai legenda badminton dunia yang bermain di sini dan kami mahu menjadi seperti mereka.

“Diharapkan kami boleh menghasilkan keputusan terbaik pada kejohanan Seluruh England kali ini,” kata Wooi Yik kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Aaron-Wooi Yik yang juga bekas juara dunia akan bertemu pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan bagi perebutan tiket ke final, malam ini.

Meskipun menang semua tiga pertemuan ke atas lawan sebelum ini namun Aaron-Wooi Yik tetap mengambil pendekatan berwaspada susulan peningkatan prestasi yang ditunjukkan beregu Taiwan itu sejak kebelakangan ini.

sumber:- BH

“Lawan kami esok (hari ini) tidak mudah kerana mereka bermain sangat baik sejak kebelakangan ini. Jadi, kami perlu berhati-hati,” kata Aaron.