sukan

CEO NSFC jawab dakwaan Zaquan Adha

Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC (NSFC), Faliq Firdaus menafikan dakwaan bahawa beliau tidak memberikan perhatian atau enggan berbincang dengan bekas kapten pasukan itu, Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak.

Sebaliknya, beliau menegaskan tidak pernah menjauhkan diri daripada membincangkan sebarang isu membabitkan kepentingan kelab itu dan juga pemain ketika persiapan perlu dilakukan bagi menghadapi kempen L:iga Malaysia (Liga M) musim 2024-2025.

Malah katanya, beliau sentiasa berada di pejabat dan bersedia untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan bekas-bekas pemain.

“Dakwaan dia (Zaquan) bahawa saya tidak melayani atau menjauhkan diri daripada berbincang dengannya adalah tidak benar.”Hanya dua kali saya tidak membalas kiriman mesejnya, iaitu pertama kerana ia pada tengah malam dan satu lagi kerana saya terlepas pandang. Saya juga tidak menerima panggilan dari dia dalam tempoh dua bulan terakhir ini.

“Dia juga tidak pernah bertanyakan soal kontrak kecuali mengenai tunggakan gaji. Saya ingin ‘move on’ dalam perkara ini kerana ia membabitkan kepentingan dan masa depan kelab,” kata Faliq.

Faliq berkata, beliau sudah mengadakan taklimat dengan pemain secara maya selepas dua hari dilantik menjawat jawatan itu.

Menurutnya, dalam taklimat itu, beliau menjelaskan kepada pemain dan bekas pemain bahawa mereka perlu menerima pemotongan gaji andai berminat untuk kekal bersama skuad Hobin Jang Hobin, musim ini.

“Taklimat itu melibatkan perbincangan mengenai gaji yang tertunggak, dan saya juga beritahu kepada semua pemain supaya jangan tunggu kelab jika ada dapat tawaran (dari kelab lain), sila ambil dan selamatkan periuk nasi masing-masing dulu.

“Jika ada pemain yang benar-benar ingin kekal bersama Negeri Sembilan, mereka perlu menerima langkah diambil kelab iaitu potongan gaji,” katanya yang berharap isu berkenaan selesai bagi membolehkan Negeri Sembilan fokus kepada persiapan menghadapi Liga M musim ini.

sumber:- BH

Terdahulu, Zaquan cuba mempersoalkan kontraknya yang tidak disambung melalui satu surat yang diterima daripada NSFC pada awal Ramadan lalu.