sukan

Ketua jurulatih Oman laung amaran awal buat Malaysia

Ketua jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy melaungkan amaran awal buat Harimau Malaya bahawa aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan ini adalah perlawanan yang sangat penting buat dirinya.

Pertembungan dengan Harimau Malaya menjadi ujian sulung buat bekas pengendali skuad kebangsaan Republik Czech itu selepas dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Oman pada awal bulan lalu.

Silhavy menggantikan Branko Ivankovic yang dipecat susulan prestasi buruk skuad Oman di pentas Piala Asia 2023, Januari lalu.

Hadir selaku pengendali baharu selain pernah membimbing pasukan Republik Czech dan beberapa kelab ternama negara itu, harapan tinggi kini diletakkan ke atas bahu Silhavy untuk memacu Oman kembali kepada prestasi terbaik.

Justeru, tidak hairan apabila Silhavy menyifatkan pertembungan dengan Malaysia dalam Kumpulan D bulan ini sebagai perlawanan yang sangat penting buatnya.

Berdasarkan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Oman berada jauh di depan iaitu di tangga 80 dunia berbanding Harimau Malaya yang menghuni kedudukan 132.

Melihat kepada ranking itu, Oman sepatutnya tiada masalah untuk meraih mata maksimum dalam dua perlawanan menentang Harimau Malaya.

Bagaimanapun, pasti terdetik juga kebimbangan di hati Silhavy kerana meskipun berada di ranking lebih rendah, Harimau Malaya yang dibimbing Kim Pan Gon sedang memimpin Kumpulan D.

Harimau Malaya mengumpul enam mata selepas merekodkan kemenangan bersih dalam dua aksi awal apabila menewaskan Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0).

Oman pula menghuni tangga kedua ketika ini apabila mengumpul tiga mata hasil kemenangan 3-0 ke atas Taiwan sebelum tewas mengejut kepada Kyrgyzstan 1-0.

“Sejak saat pertama saya datang ke Oman, saya melihat dedikasi pemain dan keinginan kuat mereka untuk memenangi perlawanan dan layak ke kejohanan utama.

“Saya memberi jaminan kepada pemain bahawa pasukan kebangsaan terbuka kepada semua orang dan mana-mana pemain yang menunjukkan dia layak untuk mendapat tempat dalam skuad akan dipanggil.

“Kelayakan Piala Dunia akan datang menentang Malaysia adalah yang paling penting bagi saya ketika ini. Saya mahu kami semua – barisan jurulatih, persekutuan, peminat dan pemain – bersatu supaya kita boleh mencapai matlamat,” kata Silhavy seperti dilaporkan di laman web FIFA.

sumber:- BH

Oman dan Malaysia akan bertembung di Muscat terlebih dahulu bagi aksi ketiga Kumpulan D, 22 Mac ini sebelum kedua-dua pasukan itu sekali lagi bertarung pada 26 Mac di Stadium Nasional, Bukit Jalil.