sukan

Terengganu FC pandang ke Thailand

Terengganu FC terus berusaha untuk memajukan pasukan apabila menjadikan kelab gergasi Thailand, Buriram United, sebagai contoh terutama dalam menguruskan kelab dengan lebih baik.

Pasukan itu dalam satu kenyataan berkata, lawatan Buriram yang telah berlangsung baru-baru ini bertujuan membina perhubungan antara kedua-dua kelab di samping membincangkan kerjasama yang dapat diwujudkan.

“Pihak Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) juga hadir bertujuan untuk mendapatkan perkongsian dari Buriram United berkenaan pentadbiran kelab, pengurusan pemasaran dan perniagaan kelab serta konsep pembangunan bola sepak yang dijalankan oleh kelab ini,” kata kenyataan itu.

Ini bukan kali pertama lawatan kerja seperti ini dilakukan oleh pengurusan kelab selepas sebelum ini turut pernah ke Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk lawatan kerja serta mendapatkan perkongsian untuk kemajuan kelab.

Pengurusan kelab juga pernah ke BG Phatum FC sebelum ini juga dengan tujuan yang sama.Menurut kenyataan itu, TFCSB akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi mutu pengurusan kelab dari setiap sudut agar Terengganu FC menjadi salah sebuah kelab yang serba lengkap dan boleh dijadikan contoh.

sumber:- SA

“Pihak Terengganu FC ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih buat pihak Buriram United FC atas segala kemudahan dan layanan yang telah diberikan kepada pihak Terengganu FC sepanjang berada di sana,” katanya.- Sinar Harian