sukan

Penyokong Malaysia perlu terima hakikat — Pan Gon

Penyokong Harimau Malaya perlu bersedia menerima sebarang kemungkinan termasuk sekiranya skuad itu tidak berjaya memberi keputusan yang menggembirakan dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman, bulan ini.

Ia susulan situasi sukar yang terpaksa dihadapi skuad kendalian Kim Pan Gon ketika ini termasuk ketiadaan saingan Liga Malaysia (Liga M) yang hanya akan bermula, Mei depan selain perlawanan menentang Oman akan berlangsung pada Ramadan.

Berbeza dengan pasukan Oman yang berada di ranking 80 dunia dengan pemain mereka dianggap mendapat tahap kecergasan terbaik apabila meneruskan aksi dalam saingan liga profesional di negara itu selepas kembali dari tugasan Piala Asia 2023, Januari lalu.

Kini, tugas berat menanti Harimau Malaya untuk mencari keputusan positif terutama apabila akan bertandang ke Muscat terlebih dahulu bagi aksi ketiga Kumpulan D, 22 Mac depan.

Justeru, penyokong tidak boleh mengharapkan detik manis yang dilakar Harimau Malaya ketika mengikat pasukan di ranking 22 dunia, Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir di Piala Asia 2023, 25 Januari lalu berulang.

Pan Gon menjelaskan, Harimau Malaya memang sentiasa mahu menggembirakan penyokong, namun berharap semua pihak memahami situasi yang terpaksa dihadapi skuad negara sebelum menentang Oman.

“Perkara yang menakjubkan (selepas seri dengan Korea Selatan) saya boleh lihat rakyat Malaysia gembira, saya boleh lihat emosi, lihat seseorang menangis. Itulah apa yang bola sepak boleh berikan kepada negara dan saya bangga dengan semua pemain.

“Saya fikir mereka (pemain) memberikan salah satu memori terbaik kepada rakyat Malaysia. Ya, kami mahu memberikan anda satu lagi kegembiraan dan sejarah berdepan pasukan kelompok 80 dunia. Tetapi, anda semua harus faham situasi.

“Kami cuba memberi galakan kepada pemain dan cuba berikan yang terbaik. Mungkin kita tak tahu kalau kami tak dapat berikan anda keputusan atau sesuatu, namun paling kurang kami cuba berikan yang terbaik.

“Apabila gembira, kita gembira bersama dan apabila bergelut, kita bergelut bersama, itu penyokong yang sebenar. Namun, kami tetap berharap dapat berikan anda semua sesuatu dan kita berjuang bersama,” katanya.

sumber:- BH

Selepas aksi di Muscat, Harimau Malaya dan Oman akan berentap sekali lagi di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 Mac depan dalam aksi keempat Kumpulan D kempen kelayakan.