sukan

‘Saya tidak duduk saja layan TV’ – Brendan

Tonggak Harimau Malaya, Brendan Gan mengakui bahawa dia tidak hanya bersantai atau duduk rehat menonton televisyen sebaik saja berakhir kejohanan Piala Asia di Qatar, Januari lalu.

Sebaliknya, pemain berusia 36 tahun itu menjalani latihan dalam tempoh satu hingga dua minggu sebelum menyertai kem Harimau Harimau Malaya yang bermula semalam.

Bekas pemain Selangor FC itu berkata, dia perlu bekerja keras memandangkan ketika ini tidak mempunyai kelab sekali gus agak sukar untuk mengekalkan momentum menerusi latihan sistematik.

“Tentulah agak sukar bagi pemain untuk kembali dan berlatih terutamanya ketika ‘off season’ dan bagi saya adalah menjalani latihan intensif selama satu atau dua minggu.

“Kem latihan ini adalah peluang bagi saya untuk menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh sekali gus mampu mengekalkan keupayaan untuk bersaing dengan pasukan seperti Oman.

“Pada musim ‘off season’ bukan untuk tiket pemain bersenang lenang iaitu menonton televisyen atau duduk saja namun sebagai pemain perlu mengekalkan kecergasan pada tahap optimum,” katanya, ketika ditemui pada hari kedua kem latihan skuad Harimau Malaya, di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, sebentar tadi.

Pada hari kedua sesi latihan skuad Harimau Malaya menyaksikan terdapat pertambahan pemain seperti Faisal Halim, Safawi Rasid dan Stuart Wilkin yang semalam tidak dapat hadir atas alasan tertentu.

Ketika ini, 23 pemain sudah menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya namun baki tonggak daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kapten pasukan kebangsaan Dion Cools akan turut serta secara berperingkat.

Malaysia berada pada laluan terbaik untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia/Piala Asia buat pertama kalinya, dengan ketika ini mendahuli carta Kumpulan D menerusi kelebihan tiga mata berbanding Oman.

sumber:- HM

Anak buah Kim Pan-gon mencatatkan dua kemenangan menentang Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) tahun lalu untuk mendahului carta kumpulan, manakala Oman di tempat kedua berkongsi mata dengan Kyrgyzstan, manakala Taiwan berada di tempat terakhir tanpa sebarang mata.