sukan

Liverpool bergaya untuk ke suku akhir

Dua gol sumbangan Darwin Nunez membantu Liverpool menghampiri suku akhir Liga Europa selepas mereka menang 5-1 pada aksi pertama, pusingan 16 terakhir di Sparta Prague awal pagi tadi.

Bintang serangan Mohamed Salah kembali ke dalam skuad sebagai pemain gantian babak kedua susulan kecederaan yang menyaksikannya hanya beraksi 46 minit buat Liverpool sejak pulang awal dari Piala Negara-Negara Afrika Januari lalu.

“Sparta mengambil risiko, kami menghukum mereka kerana itu,” kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

“Kami menjaringkan gol yang menarik dan kami benar-benar mempunyai momen yang mengujakan dalam perlawanan ini.”Alexis Mac Allister membuka tirai jaringan berdepan penyandang juara liga Republik Czech dengan sepakan penalti selepas enam minit apabila dia dijatuhkan oleh Asger Sorensen dalam kotak penalti.

Nunez menambah gol kedua menerusi rembatan jarak jauh dari luar kotak penalti yang melepasi jangkauan penjaga gol Sparta, Peter Vindahl Jensen pada minit ke-25.

Penyerang Uruguay itu kemudian menjadikan kedudukan 3-0 pada masa kecederaan babak pertama dengan rembatan leret dari dalam kawasan penalti ke penjuru gol lawan.

“Dia memiliki sikap paling penting yang diperlukan seorang penyerang dalam berdepan peluang sebegini,” kata Klopp.

“Dia sering menjadi ancaman utama dan dia memberikan kami ruang serta pilihan.”

Conor Bradley tampil sebagai pemain gantian selepas rehat dan perlawanan itu terencat seketika buatnya 40 saat kemudian apabila dia merembat masuk hantaran silang pemain sayap Sparta, Veljko Birmancevic ke dalam pintu golnya sendiri.

Luis Diaz bagaimanapun menjadikan kedudukan 4-1 pada minit ke-53, menewaskan Vindahl dengan percubaan yang terbias manakala Dominik Szoboszlai, yang turut kembali daripada kecederaan sebagai pemain gantian babak kedua, melengkapkan jaringan pada masa kecederaan.

Salah menemui jaringan enam minit sebelum tamat tetapi golnya dibatalkan kerana VAR mendapati dia berada dalam kedudukan ofsaid.

“Keputusan perlawanan ini lebih baik berbanding persembahan,” kata Klopp.

“Kawalan kami tidak begitu bagus jadi mereka mampu mencipta serangan balas. Kami kehilangan beberapa bola yang tidak sepatutnya yang kemudian sukar untuk dibendung.

sumber:- BH

“Kami melakukan kesilapan, kita semua manusia, tetapi kami berjuang hebat dan saya saksikan dalam bilik persalinan selepas itu pemain berasakan intensiti permainan dan gembira mengenai keputusannya.” – AFP