sukan

FAM umum sah kekal

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya dan Oman pada 26 Mac ini kekal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Perkembangan itu diumumkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dalam kenyataan, hari ini.

Noor Azman menjelaskan, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac bersama barisan kejurulatihan Harimau Malaya diketuai Kim Pan Gon ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon sudah melakukan lawatan bagi meninjau keadaan terkini padang di stadium berkenaan, semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dan penilaian pada lawatan itu mendapati persediaan padang menjelang aksi keempat Harimau Malaya dalam Kumpulan D adalah mengikut jadual dan kondisi rumputnya dijamin akan berada pada tahap yang terbaik.

Katanya, dengan pengesahan venue itu, tiket bagi antara Malaysia dan Oman akan mula dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my, bermula esok dengan harga tiket bagi semua kategori dikekalkan iaitu sama seperti perlawanan pertama Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz, November lalu.

“Bagi kategori tiket Terbuka, harga ditetapkan pada RM40 untuk dewasa dan RM5 kanak-kanak bawah 12 tahun; RM60 bagi tiket Grandstand dan RM80 bagi tiket Premium.

“Skuad Harimau Malaya akan memulakan kem latihan pusat di Wisma FAM, hari ini bagi persiapan menghadapi perlawanan ketiga Kumpulan D menentang Oman di Sultan Qaboos Sports Complex, Muscat pada 21 Mac, sebelum terbang pulang ke tanah air bagi perlawanan keempat di Bukit Jalil pada 26 Mac 2024,” katanya.

Sebelum ini, status Stadium Nasional bagi aksi menentang Oman menjadi tanda tanya susulan penganjuran konsert Ed Sheeran di gelanggang keramat Harimau Malaya itu, bulan lalu.

sumber:- BH

Hamidin dalam laporan BH Sukan sebelum ini menjelaskan pihaknya akan melawat gelanggang terbabit dahulu sebelum membuat keputusan sama ada stadium itu boleh digunakan atau tidak untuk aksi menentang Oman.