sukan

TERKINI: FIFA bantu lunas tunggakan gaji RM294,840

Penantian 18 bekas pemain Terengganu City FC (TCFC) yang menunggu tunggakan gaji hampir enam tahun berakhir apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) meluluskan dana bantuan di bawah peruntukan khas Fifa Fund for Football Players (FFP).

Berita gembira itu dikongsikan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) di laman sosial dengan bantuan dana AS$70,200 (RM294,840) itu akan diagihkan kepada bekas pemain TCFC.

Jelas PFAM, beberapa kumpulan permohonan diluluskan dan untuk kelompok keempat, sejumlah 18 permohonan sudah diluluskan Fifa.

“Seramai 18 pemain ini terdiri daripada individu yang sebelum ini membuat aduan rasmi kepada PFAM dan menerima keputusan daripada Jawatankuasa Status FAM mengenai tunggakan gaji.

“PFAM mengakui walaupun jumlah diterima pemain mungkin tidak mencukupi sepenuhnya, namun PFAM berharap melalui dana ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban dipikul pemain,” menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, dana itu adalah peruntukan khas di bawah FFP oleh Fifa dan FIFPRO untuk membantu pemain di seluruh dunia yang masih mempunyai tunggakan bayaran daripada kelab ditutup secara rasmi atau muflis.

TCFC tidak lagi beraksi di Liga Malaysia dan secara rasmi ditutup pada musim 2019 biarpun setahun sebelum itu muncul juara Piala FAM 2018.

“PFAM ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan pihak yang berkaitan untuk meningkatkan kualiti pengurusan bola sepak di Malaysia.

“Pengurusan bola sepak di Malaysia perlu berusaha lebih keras untuk menangani isu ini dan memperkasa pengurusan pasukan serta penguatkuasaan undang-undang.

“Ini tanggungjawab kita bersama dalam memastikan ekosistem bola sepak di Malaysia stabil dan kekal dalam jangka masa panjang,” menurut kenyataan itu.