sukan

Situasi Harimau Malaya ‘mengerikan’

Skuad Harimau Malaya dijangka bergelut untuk memperagakan aksi ‘lima bintang’ bagi dua perlawanan penting Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala 2027 berdepan Oman.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa berkata, beliau melihat banyak ‘perubahan’ yang sedang berlaku dalam rangka persiapan skuad bola sepak kebangsaan yang sudah pastinya memberi cabaran besar buat barisan kejurulatihan diterajui Kim Pan Gon.

Justeru, beliau mengharapkan penyokong tidak meletakkan jangkaan tinggi bagi dua aksi berdepan pasukan yang ketika ini berada di tangga ke-80 dunia itu terutama selepas ‘dibuai’ dengan aksi memberangsangkan ketika berdepan Korea Selatan, sebelum ini.

“Liga kita sedang berehat jadi pemain tiada ‘match fitness’. Ketiadaan ‘match fitness’ ini adalah satu perkara yang mengerikan kerana ini akan menjejaskan prestasi pemain. Dengan mereka sedang berehat tanpa berlatih, mereka memerlukan masa untuk dapat semula sentuhan.

“Lebih parah kalau tiada perlawanan persahabatan kerana ia sedikit mengganggu keupayaan pemain untuk membuat adaptasi kepada perubahan taktikal dan keberkesanan untuk ‘game plan’ nanti. Ini bakal memberi masalah besar kepada Pan Gon.

“Begitu juga dengan keserasian antara pemain yang datang nanti. Kita juga harus melihat faktor persekitaran di mana latihan berlangsung pada bulan Ramadan dan walaupun ada pemain bukan Muslim, tetapi ini tetap memberi kesan kepada lebih 50 peratus skuad utama.

“Cuma kita harap Pan Gon dapat mengatasi cabaran ini dan berjaya mendapatkan keputusan positif daripada dua perlawanan ini. Ini peluang terbaik untuk kita layak lebih awal ke pusingan seterusnya, jadi kesempatan ini jangan dipersia-siakan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sadek tetap percaya pemain kebangsaan pasti sudah arif mengenai apa yang perlu dilakukan sebagai seorang pemain profesional bagi memastikan kecergasan mereka berada pada tahap yang terbaik meskipun pada rehat liga.

“Sepatutnya pemain kebangsaan yang sering dipanggil ini sentiasa berada dalam keadaan cergas. Pemain yang terpilih perlu ada tanggungjawab yang tinggi bagi memudahkan kerja Pan Gon.

“Kalau mereka masih terkial-kial mencari rentak dan sentuhan kerana berehat lama, kita akan nampak ada kecacatan dengan kualiti permainan negara nanti,” katanya.

Sebagai rekod, seramai 33 pemain dipanggil Pan Gon ke kem latihan pusat bermula esok namun ada sebahagiannya hanya akan melapor diri pada 15 Mac nanti.

Selepas kelompok pemain ini melapor diri pada 15 Mac nanti, beberapa pemain skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) akan dilepaskan untuk mengharungi kem latihan skuad B-23 di bawah kendalian Juan Torres Garrido.

sumber:- BH

Skuad Harimau Malaya dijadualkan akan menentang Oman pada 22 Mac di tempat lawan sebelum kedua-duanya bertembung sekali lagi di Kuala Lumpur empat hari kemudian.