sukan

Kami macam sudah merajuk, mohon beraksi di Liga Singapura

Pasukan Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) kemungkinan memilih menyertai Liga Singapura selepas permohonan untuk beraksi di Liga Malaysia (Liga M) ditolak Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Menurut sumber, kelab berpangkalan di Lembah Klang itu cukup kecewa dengan keputusan MFL yang tidak memberikan Lesen Kebangsaan, sekali gus impian beraksi di Liga Super musim ini musnah.

Katanya, cadangan beraksi di Liga Singapura itu timbul hasil perbincangan antara pengurusan kelab KL Rovers selepas pengumuman status permohonan lesen luar biasa (extraordinary license) itu memihak kepada Perlis United FC.

“Kelab (KL Rovers) memang kecewa sangat dengan keputusan MFL yang diumumkan hari ini.”Kami macam sudah merajuk dan kemungkinan sedang membuat persiapan untuk memohon sertai Liga Singapura,” katanya kepada Arena Metro.

Ujarnya, niat untuk beraksi di Singapura perlu diteruskan kerana dana tajaan disalurkan oleh pemilik KL Rovers dari China itu sudah berada dalam akaun kelab.

“Kami sedang siapkan surat menyurat dan menyediakan perancangan serta dokumen untuk diserahkan kepada pengelola Liga Singapura.

“Duit sudah ada, jadi kami perlu pastikan kelab bersaing dan bermain dalam kancah liga utama.

“Pilihan yang ada ketika ini adalah Liga Singapura. Apapun kami memang kecewa dengan keputusan MFL kerana pengurusan pasukan sudah bertungkus lumus sejak Januari lalu untuk pastikan kelab memenuhi syarat pelesenan kelab,” katanya.

Pada saingan Liga M3 musim lalu, KL Rovers muncul naib juara di belakang Imigresen FC, sekali gus diberi peluang memohon Lesen Kebangsaan bagi beraksi di Liga Super musim ini.

Isnin lalu, satu sesi temu duga dijalankan First Instance Body (FIB) yang memanggil empat wakil kelab termasuk KL Rovers, Imigresen FC, Harini FT dan Perlis United FC.

sumber:-HM

Begitupun menerusi mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL semalam, MFL mengumumkan Perlis United FC menjadi pilihan terbaik untuk mengisi slot ke-14 bagi menyertai saingan Liga Super musim ini dengan syarat perlu memenuhi syarat tambahan yang bakal berakhir hujung bulan ini.